Ladang MESEJ diceroboh

0
DICEROBOH: Radin meninjau kawasan tanah MESEJ Kampung Sungai Laba Pulau Sebatik yang diceroboh dan ditanam dengan limau serta kelapa sawit.

DICEROBOH: Radin meninjau kawasan tanah MESEJ Kampung Sungai Laba Pulau Sebatik yang diceroboh dan ditanam dengan limau serta kelapa sawit.

Radin arah agensi berkaitan siasat dan ambil tindakan

TAWAU: Kerajaan akan mengambil tindakan tegas ke atas penceroboh kawasan tanah Mini Estet Sejahtera (MESEJ) agar ia tidak menjejaskan pembangunan projek itu yang bertujuan membantu golongan miskin tegar di negeri ini.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Radin Malleh sehubungan itu mengingatkan kumpulan yang menceroboh kawasan tanah MESEJ agar keluar dari tanah berkenaan, kerana perbuatan mereka itu menyalahi undang-undang.

“Tinjauan saya mendapati penceroboh berkenaan mengambil kesempatan membangunkan kawasan tanah MESEJ Kampung Sungai Laba, Pulau Sebatik, Tawau dengan tanaman limau dan kelapa sawit.

“Saya mengarahkan pegawai serta agensi terbabit dengan pelaksanaan MESEJ berkenaan agar menyiasat dan mengambil tindakan bagi menyelesaikan masalah pencerobohan kawasan tanah MESEJ itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menamatkan lawatan kerja ke ladang MESEJ Kelapa Sawit di Kampung Sungai Laba, Pulau Sebatik, di sini.

Selain melawat pejabat operasi MESEJ Kampung Sungai Laba, Radin turut mengadakan pertemuan dengan peserta MESEJ berkenaan untuk mendengar masalah yang dihadapi mereka.

“Pihak pengurusan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di seluruh negeri Sabah harus membuat pemantauan serta pemeriksaan rapi dari semasa ke semasa serta melakukan penyelenggaraan ke atas kemudahan di MESEJ berkenaan.

“Ini kerana, kerajaan negeri membelanjakan wang yang besar untuk menjayakan pelaksanaan projek MESEJ itu demi kesejahteraan hidup para peserta MESEJ berkenaan,” katanya.

Radin yang juga Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata pembinaan projek MESEJ yang merupakan cetusan ilham Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Musa Aman membuktikan komitmen kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri membasmi kemiskinan melalui peningkatan pendapatan rakyat miskin tegar di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Setakat ini, kerajaan negeri membina 48 MESEJ di seluruh Sabah. MESEJ kelapa sawit Kampung Sungai Laba di Pulau Sebatik Tawau yang beroperasi pada 2010 itu mempunyai 33 peserta.

“Saya difahamkan juga peserta MESEJ Kampung Sungai Laba di Pulau Sebatik ini telah menerima dividen masing-masing berjumlah RM300,” katanya.

Beliau berkata, terdapat beberapa aspek yang perlu diberikan tindakan segera oleh pengurusan MESEJ  seperti menyelenggara rumah peserta dan membaiki kerosakan jalan di kawasan perumahan serta jalan masuk ke MESEJ ini.

“Saya difahamkan jalan masuk ke MESEJ ini mulai rosak pada tahun 2013 akibat hakisan tanah dan laporan kerosakan jalan berkenaan dan permohonan pembaikan jalan itu telah pun dikemukakan kepada pihak terbabit, namun belum ada tindakan sehingga hari ini,” katanya.