Sanjung Etika enggan pandang rendah Ocean Eagle FC Samarahan

0

KUCHING: Ketua Jurulatih Yayasan Sarawak – Sanjung Etika, Hassan Jahid tidak mahu pemainnya memandang rendah keupayaan Ocean Eagle FC Samarahan menjelang pertemuan final Piala FA Samarahan 2015 pada Ahad, 4 September ini di Kompleks Sukan Asajaya.

Menurut Hassan, peluang tetap ada bagi kedua-dua pasukan untuk melakar kemenangan.

Tambahan Ocean Eagle FC Samarahan pastinya mahu mengambil kesempatan bermain di laman sendiri untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi sebagai hadiah kepada penyokong mereka.

“Saya menjangkakan perlawanan sengit antara keduadua pasukan.

Kedua-dua pasukan mempunyai kekuatan yang seimbang,” katanya semalam.

Hassan bagaimanapun percaya kelebihan memihak kepada pasukannya ditambah rasa keterujaan pemain untuk menambah trofi ketiga selepas menjuarai Piala Sumbangsih dan Liga Samarahan 2015.

Jelasnya, prestasi pemain berada di tahap kemuncak dan berazam untuk memberikan yang terbaik dalam aksi final tersebut.

Perlawanan final dijangka bermula jam 4 petang.

Sementara itu, penyampaian hadiah kepada pemenang Liga Samarahan 2015 juga akan disampaikan pada hari tersebut.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merangkap Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Abu Bakar Marzuki akan merasmikan penutupan kejohanan.