Generasi muda berdaya saing, cerdik diperlukan

0
INOVATIF: Jabu diiringi Mohd Kadim (kiri) serta Pengerusi IKM Cawangan Sarawak Dr Alvin Chai (belakang, kanan), Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Kopli Bujang (belakang, kiri) melawat pameran sempena K2M 2015, semalam.

INOVATIF: Jabu diiringi Mohd Kadim (kiri) serta Pengerusi IKM Cawangan Sarawak Dr Alvin Chai (belakang, kanan), Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Profesor Dr Kopli Bujang (belakang, kiri) melawat pameran sempena K2M 2015, semalam.

Lahir modal insan berkualiti untuk bangun negeri ini khasnya kawasan luar bandar: Jabu

Oleh Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Sarawak memerlukan generasi muda yang berdaya saing dan cerdik pandai dalam melahirkan modal insan berkualiti untuk bersama membangunkan negeri ini khasnya kawasan luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata, ia termasuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan sains, teknologi dan inovasi yang merupakan kunci kepada pembangunan negara dan negeri.

“Di Sarawak untuk mencapai hasrat Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang mahu membangunkan luar bandar, kita memerlukan golongan cerdik ini untuk bersama membangunkannya.

“Namun cara berkesan untuk mencapai hasrat berkenaan pastinya mekanisme kita iaitu peranan institusi dalam melahirkan pakar termasuk kimia, pakar pertanian serta pakar biologi kepada Sarawak,” katanya.

Beliau yang juga Pro Canselor UNIMAS berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kimia Malaysia 2015 (K2M) Zon Sarawak anjuran Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padawan di UNIMAS di sini, semalam.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, kini banyak peluang dalam bidang berkenaan yang terbuka kepada anak-anak muda.

Namun kata beliau, ia terpulang kepada mereka untuk mendapatkannya dengan mengambil jurusan seperti sains, kimia dan biologi.

“Kita mempunyai hab halal yang mengeluarkan makanan berasaskan bioteknologi dan ia pastinya memerlukan pakar dalam bidang berkaitan,” katanya.

Beliau pada masa yang sama turut memberi cabaran kepada UNIMAS dan pihak berkaitan supaya menggunakan kemahiran inovatif dan kreativiti yang ada untuk bersaing di persada dunia.

Jabu berkata dengan demikian ia pastinya akan memberi nama baik kepada graduan yang dilahirkan untuk pasaran kerja mereka nanti.

“Kita dimaklumkan banyak rungutan dan rintihan graduan daripada institusi pengajian yang ada kini, masih belum mendapat peluang pekerjaan dan agak sukar mencari kerja.

“Maka kita berharap Kementerian Pendidikan Malaysia bersama agensi berkaitan supaya menentukan atau menilai kebolehpasaran graduan daripada universiti awam di Malaysia,” katanya.

Ia termasuk pendedahan dunia sebenar pekerjaan kepada graduan selain melengkapkan diri dengan pelbagai kemahiran seperti mengembangkan bahasa Inggeris, memiliki kemahiran dalam sains, teknologi dan matematik.

Sementara itu Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi dalam ucapannya berkata, penganjuran karnival berkenaan adalah amat penting untuk membangkitkan kesedaran di kalangan pelajar khasnya dengan kemapanan kimia dan memupuk  minat mereka.

“Sewajarnya kita perlu memupuk ilmu pengetahuan serta minat dalam bidang kimia seawal usia lagi.

“Justeru dengan penglibatan pelajar dalam karnival seperti ini, mereka dapat menghayati dan menghargai keajaiban sains dan terus menanam minat serta semangat ingin tahu pada kimia,” katanya.