Buat pilihan bijak pada PRN akan datang

0

Pengundi Kampung Bungan diseru terus memberi sokongan padu kepada calon BN

Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Pengundi-pengundi di Kampung Bungan, Batang Igan diminta membuat pilihan bijak dan memberi mandat kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Menteri Kewangan Kedua merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata berdasarkan peratusan undi calon BN pada pilihan raya lalu pengundi di Kampung Bungan merupakan penyokong kuat BN.

Katanya, pada PRN 16 April 2011 dan Pilihan Raya Umum (PRU) 5 Mei 2013, peratusan undi diberikan kepada calon BN masing-masing adalah 85 peratus dan 91 peratus.

“Ini adalah satu sokongan amat baik dan kuat daripada pengundi-pengundi di Kampung Bungan.

“Saya berharap pengundi-pengundi di sini memberi sokongan sama atau lebih tinggi kepada saya dan BN pada PRN akan datang,” katanya ketika merasmikan Sukan Air Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bungan, semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit dan Pau Kiew Chuang, Temenggung Stanley Geramong, Penghulu Richard Ampi, Penghulu Jeffery Sut, Guru Besar SK Kampung Bungan Ephrem Ya Bangir, Yang Dipertua PIBG SK Kampung Bungan, Sulaiman Hassim serta yang lain.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Komuniti itu berkata, sebagai wakil rakyat Bawang Assan, beliau sentiasa berusaha membangun dan meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan terbabit termasuk Kampung Bungan.

Untuk itu, sejumlah RM500,000 diluluskan tahun ini untuk membaiki dan menaik taraf jalan di Kampung Bungan selain RM600,000 diperuntukkan tahun depan bagi tujuan sama.

“Bagi projek bekalan air, sejumlah RM6 juta diluluskan,” katanya sambil memohon penduduk memberi kerjasama agar projek tersebut dapat dilaksanakan sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air dihadapi penduduk.

Wong turut meluluskan peruntukan RM10,000 kepada PIBG Kampung Bungan bagi membeli bot dan enjin untuk kegunaan pihak sekolah dan murid-murid ketika waktu kecemasan selain RM10,000 bagi membina ampaian berbumbung sekolah terbabit.