Elemen subahat libatkan aktiviti pemburuan haram

0

KOTA KINABALU: Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun tidak menolak wujudnya elemen subahat dalam aktiviti pemburuan haram di kawasan Hutan Simpan Ulu Segama Lahad Datu.

Sehubungan itu, beliau mengesyorkan agar pihak berkuasa turut menjalankan siasatan melibatkan ‘orang dalam’ yang diberi kepercayaan menjaga kawasan terbabit.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu penangkapan tiga pekerja sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang didapati memburu hidupan liar di kawasan berkenaan baru-baru ini.

“Saya difahamkan pekerja terbabit pernah membantu Jabatan Hidupan Liar dalam menjalankan operasi antipemburuan.

“Justeru, penangkapan mereka adalah sesuatu yang memalukan dan ia sepatutnya dijadikan pengajaran bagi kita semua.

“Kita perlu membuka mata kerana selain orang luar, pihak berkenaan juga perlu menyiasat orang kita sendiri,” katanya selepas merasmikan Seminar ICT Sektor Awam Kementerian Pelancongan, Kebudayan dan Alam Sekitar, di sini kelmarin.

Masidi turut meyifatkan isu terbabit sebagai perkara yang mengejutkan kerana pihak yang diberi tanggungjawab untuk menjaga kawasan berkenaan dipercayai menjadi dalang dalam aktiviti pemburuan haram.

Menurutnya, siasatan polis sedang dijalankan dan perkembangan mengenai kes terbabit akan diketahui nanti.

Sebelum ini, kesemua suspek ditangkap ketika menjalankan aktiviti pemburuan di kawasan Hutan Simpan Ulu Segama.

Turut ditemui bersama suspek ialah bangkai rusa sambar dan kijang, peluru hidup, lampu suluh, beberapa perkakas dan sebuah kereta jenis Toyota Hilux.