APMM Tawau tahan dua bot jongkong bawa barang subsidi

0
TUMPAS: Anggota APMM Tawau menahan bot jongkong yang membawa barang-barang subsidi dan kawalan kerana disyaki hendak diseludup keluar dari negara ini.

TUMPAS: Anggota APMM Tawau menahan bot jongkong yang membawa barang-barang subsidi dan kawalan kerana disyaki hendak diseludup keluar dari negara ini.

TAWAU: Dua bot jongkong yang membawa muatan barangan subsidi dan kawalan ditahan di perairan Tawau semasa sedang menuju ke Sg Nyamuk, Pulau Sebatik, di sini, pada Rabu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau melakukan penahanan terbabit kerana mengesyaki barang-barang berkenaan hendak diseludup ke negara jiran.

Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Tawau, Kepten (M) Anor Jaafar berkata kedua-dua bot jongkong itu ditahan antara jam 11.23 pagi dan jam 11.42 pagi di lokasi sama.

“Kita menahan 10 suspek berumur antara 21 sehingga 53 tahun yang terdiri daripada seorang juragan dan sembilan awak-awak di kedua-dua bot terbabit,” katanya di sini kelmarin.

Anor berkata penahanan itu mendapati juragan terlibat adalah warga tempatan, manakala kesemua awak-awak yang terdiri daripada empat lelaki dan lima perempuan pula warga asing.

Dalam kes terbabit, beliau berkata pihaknya merampas 117 tong gas LPG (14 kg), 223 kotak minyak masak (17kg), 50 kampit beras (10kg) dan 36 tong gelen berisi petrol (25 liter).

“Kesemua barangan subsidi dan kawalan itu dirampas kerana kesemua suspek gagal menunjukkan dokumen sah membawa barang-barang berkenaan keluar dari Malaysia.

“Mereka gagal menunjukkan dokumen sah atau kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) ketika diminta,” katanya.

Menurutnya, kesemua awak-awak, bot jongkong dan barang muatan yang ditahan dibawa ke jeti APMM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Mengulas lanjut, beliau berkata APMM Tawau akan terus membuat pemantauan untuk menyekat sebarang kegiatan penyeludupan untuk memastikan perairan negara ini selamat dan terkawal.