200 kilogram ikan habis dijual hanya 10 minit

0

KOTA KINABALU: Pameran Ikan Mega tanpa formalin anjuran Persatuan Pemancing Sabah (SAA) mendapat sambutan memberangsangkan daripada orang ramai setelah menghabiskan jualan 200 kilogram ikan yang diadakan di Pasar Ikan Tanjung Aru, kelmarin.

Acara tahunan itu dijalankan seawal jam 8 pagi dan berjaya menghabiskan jualan dalam tempoh 10 minit sahaja.

Pengerusi SAA Datuk Wilfred Lingham berkata orang ramai sekitar bandar raya ini sudah beratur panjang bagi melakukan pembelian seawal jam 7.15 pagi lagi.

“Sambutan yang cukup memberangsangkan ini menunjukkan bahawa kesedaran tentang bahaya memakan ikan dicemari formalin (bahan kimia) semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Mereka didedahkan dengan pelbagai cara untuk mengenal pasti ciri-ciri ikan yang tidak tercemar dari bahan kimia itu,” katanya ketika ditemui pada pameran ‘Formalin Free Fresh Fish Mega Sale’, di sini kelmarin.

Disebabkan permintaan tinggi menerusi jualan berkenaan, Wilfred berkata SAA akan mempertimbangkan hasrat memanjangkan tempoh bagi acara berkenaan dalam masa setahun.

Katanya, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial SAA untuk menyampaikan mesej kepada masyarakat tentang bahaya ikan formalin yang semakin banyak didapati di pasar berdekatan.

“Bukan hanya di ibu negeri tetapi juga di pasar-pasar daerah terpencil seperti Ranau, Keningau, Tambunan dan Tenom.

“Saya mengesyaki ia disebabkan daripada tekanan permintaan jualan ikan sehingga mereka cenderung menjaga hasil tangkapan segar dengan menggunakan bahan kimia itu,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesemua jenis ikan yang dijual adalah berkualiti tinggi dan menjadi rebutan penggemar ikan laut seperti ikan merah, tenggiri dan ikan putih.

Wilfred yang juga Warden Kehormat Hidupan Liar mencadangkan pihak kerajaan agar menyekat import ‘formaldehid’ kepada orang yang berdaftar untuk kegunaan bahan kimia itu.

Menurut beliau, ia semakin mudah dimiliki oleh penjual-penjual ikan dalam bentuk cecair di sekitar kedai berhampiran pusat pasar ikan.

“Mengehadkan pengimportan melalui undang-undang sememangnya sudah sedia ada.

“Tetapi persoalannya ialah tindakan susulan pihak berkuasa, terutama dalam menguatkuasakan penggunaan bahan kimia itu,” katanya.

Beliau menggesa agar pihak berkuasa berkaitan menambahkan tenaga kerja bagi menjalankan pemeriksaan secara berkala di semua pasaran ikan negeri ini.

Katanya, tindakan segera dari pihak berkuasa amat penting bagi mengelak pengguna menghidapi kanser akibat tertelan formalin menerusi ikan yang tercemar.