Jerebu: KPM nafi penutupan sekolah melibatkan Sarawak

0

KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sekali lagi menafikan penyebaran berita penutupan sekolah melibatkan negeri ini yang viral menerusi aplikasi Whatsapp semalam.

Jurucakapnya ketika dihubungi menjelaskan bahawa pada mesyuarat yang berlangsung tengah hari semalam, kesemua negeri di Malaysia terlibat dengan penutupan sekolah kecuali tiga negeri iaitu Sabah, Sarawak dan Kelantan.

“Keputusan mesyuarat tengah hari tadi (semalam) membuat keputusan hanya sekolah di Kelantan sahaja yang beroperasi seperti biasa esok hari (hari ini) manakala bagi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia ia ditutup kerana jerebu berada pada paras yang sangat tidak sihat.

“Pada masa sama, selain Kelantan, sekolah di Sabah dan Sarawak juga beroperasi seperti biasa,” jelasnya.

Beliau turut melahirkan perasaan kesal kerana masih ada individu yang tidak bertanggungjawab bertindak membuat berita palsu mengenai penutupan sekolah yang menjurus ke arah kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Pastikan semua pihak mendapatkan kenyataan media yang sahih dan rasmi hanya daripada Portal Rasmi KPM di www.moe.gov.my, FB Rasmi KPM (https://www.facebook.com/KementerianPendidikanMalaysia) dan Twitter Rasmi KPM (https://twitter.com/KemPendidikan) sahaja,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, setakat jam 4 petang semalam, semua bahagian di negeri ini merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada paras baik dan sederhana.

Bacaan IPU yang direkodkan ialah antara 27 hingga 71 bagi semua bahagian di Sarawak.