KUCHING: Seorang lelaki mengalami patah tangan dan kaki selepas terlibat dalam satu kemalangan awal pagi semalam.
Insiden berlaku di persimpangan lampu isyarat di Taman Malihah di Matang ketika motosikal mangsa yang berusia 38 tahun itu berlanggar dengan sebuah Proton Wira dalam kejadian sekitar jam 7 pagi.
Impak daripada kejadian itu, mangsa terpelanting dan terhempap pada cermin tepi kereta sehingga menyebabkannya cedera.
Mangsa kemudian segera dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) sementara pemandu kereta hanya mengalami cedera ringan.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki turut mengalami kecederaan patah pada pergelangan tangan selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta.
Insiden pada awal pagi itu berlaku berdekatan Pusat Latihan Polis di Jalan Puncak Borneo di sini.
Menurut sumber, lelaki berusia 41 tahun itu baharu pulang dari tempat kerjanya apabila dia tidak dapat mengelak kereta berkenaan yang tiba-tiba membuat pusingan.
Mangsa yang menuju rumahnya dari bandar raya tidak dapat membrek motosikalnya lalu merempuh belakang kereta terbabit sehingga menyebabkan pergelangan tangannya patah.
Dia dihantar ke HUS untuk mendapatkan rawatan.