Milton Foo antara calon berpotensi di Pending

0

Dua lagi calon ialah Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian dan Ketua Pemuda Tan Kai

Oleh Rusnan Mustafa //

KUCHING: Tiga calon berpotensi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pending dibarisi Presidennya Senator Datuk Dr Sim Kui Hian, Ketua Pemuda Tan Kai dan Setiausa Pemuda Pending Milton Foo.

Perkara itu disahkan oleh Milton ketika ditemui semasa merasmikan Pesta Jualan Amal di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini semalam.

Menurutnya, ia bukanlah perkara yang baharu kerana pengumuman telah dibuat dua bulan lalu oleh presiden parti.

“Ya saya memang salah seorang daripada tiga calon berpotensi yang telah diumumkan dua bulan lalu dan disiarkan dalam akhbar berbahasa Cina,” katanya ketika ditemui.

Milton dilihat sebagai harapan baharu SUPP untuk memenangi kerusi tersebut memandangkan dua lagi calon berpotensi parti itu pernah bertanding dan kalah pada pilihan raya lalu.

Pada PRN lalu, Dr Sim tewas kepada penyandangnya dari Parti Tindakan Demokratik (DAP) Violet Yong manakala Tan Kai pula tewas Chong Chieng Jen pada Pilihan Raya Umum lalu bagi kerusi Parlimen Bandar Kuching.

Bagaimanapun Foo yang kini berusia 38 tahun dan merupakan seorang peguam, berkata beliau tidak berasa kekalahan tersebut menjadikannya sebagai calon paling berpotensi untuk kerusi Pending.

Namun, beliau berasa bangga kerana diumumkan sebagai antara calon berpotensi SUPP bagi kerusi tersebut sekali gus memberi peluang untuknya berjumpa dan mengenali dan membantu menyelesaikan permasalahan masyarakat di kawasan tersebut.

“Bagi saya ia adalah peluang untuk saya pergi turun padang berjumpa rakyat dan memahami keperluan serta masalah mereka. Saya telah lakukan perkara ini sejak dua bulan lalu,” ujarnya.

Setakat ini katanya, beliau telah melawat beberapa kawasan di sekitar Pending termasuk Sungai Apong, Pending Height, Bintawa, Kenyalang Park dan Kali Garden.

“Beberapa aktiviti yang saya lakukan ada dilaporkan dalam akhbar dan peluang diberikan ini memberi banyak pengalaman untuk saya,” katanya.

Malah, beliau turut berasakan masyarakat di kawasan Pending memberi maklum balas baik dan berdiri bersamanya.

“Saya tidak memberi janji apa-apa, jika saya dicalonkan sebagai calon dan dipilih saya sedaya upaya akan membantu menyelesaikan masalah yang sudah lama dialami penduduk di kawasan Pending yang seharusnya diberi tumpuan oleh kerajaan.

“Sama ada saya dijadikan calon atau tidak atau saya mampu menang atau sebaliknya apa yang menjadi perhatian saya adalah masalah rakyat yang harus diselesaikan dahulu dan untuk itu saya akan terus memperjuangkan keperluan ini,” tegasnya.