Pejalan kaki maut dilanggar lari

0

KOTA KINABALU: Seorang pejalan kaki wanita maut selepas dilanggar lari sebuah kereta tidak dikenali di Jalan Tuaran, berhampiran Pekan Menggatal, di sini malam Jumaat lalu.

Kejadian jam 7 malam itu menyebabkan mangsa, dikenali Liew Chin Kang, 63, beralamat Kampung Rampayan, Jalan Dompung, di sini disahkan maut di tempat kejadian sejurus selepas dilanggar.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata kejadian berlaku apabila mangsa melintas dari kiri jalan ke arah pembahagi jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan tidak diketahui jenis dan nombor pendaftarannya, yang kemudian terus meninggalkan lokasi kejadian.

“Mangsa yang dilanggar jatuh di atas jalan raya dan meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian sebelum dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk dibedah siasat,” katanya.

Chandra berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati laluan yang digunakan itu bukan laluan khas pejalan kaki.

Polis memohon mana-mana saksi kejadian tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan, maklumat boleh disalurkan di balai polis berdekatan atau menghubungi terus Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Kinabalu di talian 019 564 9560.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.