Pengikrar penderma organ di Sandakan masih rendah

0

SANDAKAN: Hanya kira-kira 3 ribu penduduk telah berdaftar sebagai pengikrar penderma organ meskipun daerah ini mempunyai lebih 500 ribu penduduk.

Pengarah Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, Dr Francis Paul berkata, jumlah berkenaan masih lagi rendah dan perlu ditingkatkan dari semasa ke semasa.

“Di Sandakan, kita mempunyai lebih 100 pesakit buah pinggang di mana mereka yang berdepan kegagalan organ ini bergantung dengan hemodialisis di HDOK sebanyak tiga kali seminggu.

“Sekiranya ada antara mereka yang mendapat organ bersesuaian, mereka tidak perlu lagi mencuci buah pinggang dan mesin hemodialisis itu boleh digunakan untuk pesakit lain. Di sinilah kepentingan menderma organ,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Kempen Kesedaran Pendermaan Organ ‘Let’s Talk 2015’ di Kompleks Sukan Sandakan di sini, kelmarin.

Sementara itu dalam ucapan perasmiannya, Ahli Parlimen Batu Sapi Datuk Linda Tsen Thau Lin berkata, di Malaysia, pesakit buah pinggang tersenarai sebagai pesakit paling ramai yang masih menunggu untuk mendapatkan organ iaitu seramai 19,239 orang.

Pesakit lain yang turut menunggu untuk mendapatkan organ adalah pesakit jantung, pesakit paru-paru dan pesakit hati.

“Melalui kempen ini, saya berharap agar mesej-mesej berkaitan pendermaan organ dapat menggalakkan penyertaan serta meningkatkan tahap kesedaran masyarakat dan dalam masa yang sama memberi harapan kepada mereka yang memerlukan untuk meneruskan kehidupan,” jelasnya.

Beberapa aktiviti turut dianjurkan bagi memeriahkan lagi kempen termasuk Kempen Derma Darah, pendaftaran pengikrar penderma organ, mencari harta karun, pameran serta senamrobik.