Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan harus dipelihara dan dikekalkan

0

KUCHING: Pengiktirafan Kuching sebagai Bandar Raya Perpaduan harus dipelihara dan dikekalkan untuk menjadi contoh kepada bandar-bandar besar lain di Malaysia, kata Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Malah katanya, perpaduan yang wujud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negeri ini, khususnya hasil daripada perkongsian kepelbagaian budaya dan warisan juga hendaklah disemarakkan agar ia tidak lupus ditelan zaman.

Memberi contoh Satok sebagai salah satu kawasan di bandar raya ini yang mempunyai populasi penduduk yang berbilang kaum, Abang Johari yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata, keharmonian sedia ada di situ dan di mana-mana kawasan di Sarawak harus dipertahankan sepanjang masa.

“Satok adalah kawasan majmuk kerana semua kaum ada di sini dan saya berterima kasih kepada semua penduduk dan masyarakat kerana kaum-kaum yang ada di negeri ini telah membuktikan mereka menjalani kehidupan dalam keharmonian yang begitu akrab dan mesra sesama sendiri,” jelasnya.

Tambah beliau, budaya dan warisan sedia ada merupakan manifestasi yang mengeratkan hubungan perpaduan masyarakat negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membara Malam Citrabudaya Satok 2015 anjuran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Satok dan Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak di Dewan Datu Merpati Jepang, di sini malam kelmarin.

Pada majlis itu, Abang Johari turut mengumumkan kelulusan peruntukan berjumlah RM120,000 untuk tujuan naik taraf Dewan Datu Merpati Jepang dan RM129,000 sebagai peruntukan membina taman rekreasi dan permainan kanak-kanak di kawasan Padang Selepas, Satok.

“Selepas dewan ini dinaik taraf kelak, ia bolehlah digunakan sebagai lokasi kenduri majlis kahwin atau apa sahaja program untuk semua masyarakat Satok.

“Selain itu, kanak-kanak di sini juga boleh bermain di satu kawasan spesifik apabila siapnya taman permainan dan rekreasi di Padang Selepas kelak,” kata Abang Johari.

Beliau juga memberitahu, kerajaan negeri telah memberi peruntukan berjumlah RM1.3 juta untuk tujuan mengganti dan memasang lampu jalan jenis LED di sepanjang kampung dan lorong di Satok.

Sementara itu, Ketua Pemuda PBB Cawangan Satok Iskandar Sharkawi berkata, pelbagai objektif telah digariskan sepanjang berlangsungnya program itu.

Antaranya ialah memartabatkan kebudayaan dan kesenian masyarakat khusus di kawasan Satok supaya ia kekal segar dan tidak pupus ditelan zaman serta menjadi tatapan kepada generasi kini melalui persembahan seni kebudayaan dahulu dan masa kini, ujarnya.

“Kita juga mahu memberi peluang kepada penduduk kawasan Satok mempamer kepelbagaian kaum dan kekayaan kebudayaan yang hidup sehati sejiwa tanpa mengira latar belakang agama.

“Pada masa sama, Malam Citrabudaya ini dipercayai mampu mengembang serta memupuk penyemarakan seni budaya negara kita,” katanya.

Antara program yang diadakan pada Program Membara Malam Citrabudaya Satok 2015 ialah Pertandingan Ratu Kebaya dan persembahan kebudayaan (tarian/nyanyian tradisional).

Turut hadir Pegawai JASA Parlimen Petra Jaya Sharifah Lailawati Wan Mustapha, ketua masyarakat, exco PBB Satok serta ahli jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di Satok.