Ia mempunyai anak muda berbakat dan mudah dilatih walaupun tidak cemerlang di sekolah
Oleh Borhaniza Ali Basah //
TANJUNG MANIS: Kawasan perindustrian dan Pelabuhan Tanjung Manis mempunyai tenaga kerja mahir yang mampu mengendalikan jentera berat dan moden.
Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal) Datu Len Talif Salleh berkata Tanjung Manis mempunyai sumber tenaga manusia terutama anak-anak muda berbakat dan mudah dilatih walaupun tidak cemerlang di sekolah.
Katanya menerusi latihan vokasional dapat membantu mereka yang tidak cemerlang dalam bidang akademik mampu mempunyai kerjaya sendiri.
“Selagi mereka tahu membaca dan menulis, mereka dapat diterima dan dilatih menjadi pekerja mahir,” katanya pada Majlis Pemyampaian Sijil Kursus dan Pengumuman Pensijilan dan Pematuhan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OHSAS 18001:2007) kepada Trac-Wheels (M) Sdn Bhd di Dewan Majlis Industri Kecil dan Sederhana, Tanjung Manis di sini kelmarin.
Hadir sama Pengarah Urusan SIRIM QAS International Sdn Bhd Khalidah Mustafa, Pengerusi Trac-Wheels (M) Sdn Bhd merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Jemoreng Abu Seman Jahwie, Pengerusi Lembaga Penasihat Trac-Wheels (M) Sdn Bhd Ramli Abu Samah dan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Rejang Vincent Goh.
Pada majlis itu, turut berlangsung penyampaian sijil operasi dan teknikal kepada 57 anggota dari Tanjung Manis Intergrated Port Sdn Bhd, Tanjung Manis Shipping Sdn Bhd dan Trac-Wheels (M) Sdn Bhd.
Semua penerima menerima latihan di TMTEC Malaysia (Pusat Kecemerlangan Teknikal Tanjung Manis).
TMTEC Malaysia adalah sebuah pusat latihan di Tanjung Manis dimiliki TM Education Sdn Bhd merupakan anak syarikat Trac-Wheels.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Pengarah Urusan Trac-Wheels Richard Song kerana mewujudkan TM TEC di Tanjung Manis yang melatih anak tempatan supaya menjadi pekerja mahir.
Menurutnya, mereka yang lulus daripada TM TEC akan mendapat pekerjaan di Trac-Wheels dan pada masa ini kira-kira 90 peratus pekerja Trac-Wheels adalah penduduk tempatan.
“Saya berharap lebih ramai anak muda mendaftar diri mereka mendapatkan latihan di TM TEC,” katanya.
Tambahnya, ini adalah satu usaha relevan dan baik kerana sekurang-kurangnya Tanjung Manis mempunyai sebuah institusi latihan kemahiran untuk anak-anak muda di sini.
Len memberitahu, pelatih di Pusat Kecemerlangan Teknikal (CTE) di Kuching tidak memerlukan sijil SPM dan STPM untuk menjalani latihan di pusat berkenaan selagi mereka tahu membaca dan menulis serta mempunyai minat belajar.
“CTE bekerjasama dengan Yayasan Sarawak dan saya berharap TM TEC Malaysia juga melakukan perkara yang sama,” katanya.
Sementara itu, Song ketika ditemui berkata Trac-Wheels telah memulakan operasi mereka di Tanjung Manis pada Jun 2009.
Song memberitahu, Trac-Wheels adalah subkontraktor Pelabuhan Bersepadu Tanjung Manis (TMP) Sdn Bhd yang membekalkan perkhidmatan dan bekalan peralatan kepada pelabuhan tersebut.
“Kami membantu menyelenggara peralatan pelabuhan pada tahap yang terbaik,” katanya yang juga merupakan pengarah urusan TM Education.
Katanya 90 peratus daripada pekerja adalah penduduk tempatan yang mendapat latihan di TM TEC Malaysia.
Beliau berkata TM TEC melatih dan melatih semula kakitangan mereka memperbaiki diri agar menjadi lebih cekap dalam kerja-kerja mereka.
“Ketika mereka datang kepada kami, mereka langsung tidak mempunyai pengalaman dan kemahiran berkaitan industri dan pelabuhan.
“Dengan itu kami melatih mereka menjadi pekerja di pelabuhan, mengajar mereka membuat ‘slinging’ dan ‘rigging’, menjadi juruteknik, pengendali di pelabuhan seperti operator kren dan pelbagai kemahiran.
“Ini bertujuan mengumpul anak-anak muda terutama lepasan sekolah dan tercicir dilatih dalam TM TEC dan dengan itu membolehkan mereka mempunyai pekerjaan dengan gaji lebih baik,” katanya.
Beliau mendedahkan, TM TEC kini sedang berusaha ke arah mendapatkan akreditasi dengan universiti-universiti tertentu.