ACP Junaidi Bujang KPD Miri yang baharu

0
SERAH TUGAS: Stanley (kanan) menyerahkan fail kepada Junaidi sebagai simbolik serah terima tugas sambil disaksikan Gan (tengah) di Miri semalam.

SERAH TUGAS: Stanley (kanan) menyerahkan fail kepada Junaidi sebagai simbolik serah terima tugas sambil disaksikan Gan (tengah) di Miri semalam.

MIRI: Asisten Superintendan Polis (ACP) Junaidi Bujang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah (KPD) Miri baharu semalam.

Pelantikan beliau menggantikan Senior Asisten Komisioner (SAC) Gan Tian Kee yang berpindah tugas ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Kuching dengan menyandang jawatan baharu sebagai ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak sejak empat bulan lalu.

Selama tempoh itu, jawatan KPD Miri dipangku Timbalan KPD Superintenden Stanley Jonathan Ringgit.

Berikutan itu, satu majlis serah terima tugas di antara Stanley dan Junaidi diadakan di bilik gerakan IPD Miri di sini pagi semalam.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan SAC Gan yang mewakili Pesuruhjaya Polis (PJP) Sarawak.

Junaidi, 59, merupakan anak jati Sarawak berkhidmat selama hampir 38 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Memulakan kerjaya sebagai inspektor percubaan, beliau menyandang pelbagai jawatan dan bertugas di pelbagai tempat di negeri ini dan Semenanjung Malaysia.

“Sebelum menceburi bidang kepolisan, saya pernah menjadi guru di beberapa buah sekolah di Kuching. Apabila menceburi bidang ini bermula sebagai seorang inspektor percubaan, jawatan pertama saya ialah pegawai penyiasat di Lembah Klang, Selangor,” katanya.

Selain itu, beliau pernah bertugas di bahagian pentadbiran IPK Sarawak dan dan pernah menjadi timbalan ketua Cawangan Trafik Kuching sebelum berpindah ke Cawangan Latihan Bukit Aman.

Selepas itu, beliau menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan selepas tamat pengajian kembali bertugas di Bukit Aman.

Junaidi juga pernah menjadi pegawai pengiring Timbalan Ketua Polis Negara (Tan Sri Mohd Jamil Johari) sebelum berpindah tugas ke Kelang yang merupakan salah satu kawasan gelap di Malaysia.

Setelah berkhidmat selama enam tahun di sana, beliau kemudian dilantik sebagai KPD Sungai Buloh, Selangor sebelum dipindah tugas ke sini.

“Majlis serah tugas hari ini amat bersejarah buat diri saya dan sangat menyentuh perasaan kerana diadakan tepat pada hari ulang tahun kelahiran saya,” katanya sambil menyifatkan dirinya seperti sirih pulang ke gagang apabila berpeluang bertugas di negeri kelahiran sendiri.

Sehubungan itu, beliau berjanji memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di Miri dan pada masa sama mengharapkan kerjasama pegawai seluruh bahagian di bawah IPD Miri.