Beg tangan penjawat awam diragut penjayah bersenjata parang

0
TERSEBAR: Rakaman kamera litar tertutup mengenai insiden itu turut tersebar luas dalam media sosial.

TERSEBAR: Rakaman kamera litar tertutup mengenai insiden itu turut tersebar luas dalam media sosial.

KUCHING: Seorang penjawat awam berhadapan detik cemas apabila beg tangannya diragut oleh seorang penjenayah bersenjatakan objek tajam, dipercayai parang di hadapan sebuah kedai dobi di Batu 4, Jalan Penrissen, di sini.

Dalam insiden sekitar jam 11 pagi kelmarin, wanita berusia 33 tahun itu dihampiri lelaki bersenjatakan parang yang cuba melarikan beg tangannya.

Mangsa yang bergelut dengan suspek kerana cuba mempertahankan beg tangannya bagaimanapun tercedera di bahagian leher, dipercayai akibat terkena bahagian belakang parang.

Lelaki berkenaan kemudian melarikan diri menggunakan kereta Proton Saga dan cubaan mangsa untuk mengejar kereta berkenaan gagal.

Mangsa yang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak, difahamkan mengalami kerugian lebih RM1,000 apabila kehilangan telefon bimbit jenis iPhone, sejumlah wang tunai dan dokumen-dokumen penting.

Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, nombor pendaftaran kenderaan digunakan telah dikenal pasti dan gerakan mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Ng Ah Lek mengesahkan kejadian.