Fenomena menakjubkan

0

Fenomena air mata biru jadi tarikan orang ramai di beberapa Pantai di Miri

Oleh Clare Cinderella //

INDAH: Fenomena air mata biru dirakamkan oleh Albert Song di Pantai Trusan, Bekenu.  — Gambar Albert Song

INDAH: Fenomena air mata biru dirakamkan oleh Albert Song di Pantai Trusan, Bekenu. — Gambar Albert Song

MIRI: Selepas fenomena alam semula jadi dinamakan air mata biru disebarkan di laman sosial popular di sini bulan lalu, Pantai Trusan di Bekenu menjadi tumpuan orang ramai dan popular dalam sekelip mata.

Gara-gara fenomena tersebut dilihat buat pertama kalinya melalui lensa kamera kemudian dimuat naik oleh pemiliknya, Albert Song yang juga seorang jurugambar tempatan di sebuah laman sosial penduduk di sini sanggup memandu kira-kira setengah jam perjalanan ke Pantai Trusan terutama pada waktu malam di mana fenomena tersebut dapat dilihat dengan jelas.

Kini fenomena tersebut bukan sahaja dapat dilihat di Pantai Trusan malah di sepanjang pinggir pantai Miri dan lebih menarik ia dapat dirakam dengan kamera biasa mahupun telefon pintar.

Menurut seorang jurugambar atau penggemar fotografi, Jason Chang yang juga pengamal media, sebelum ini fenomena tersebut sukar dirakam dengan kamera biasa dan hanya menggunakan kamera profesional dan berkualiti tinggi.

“Ini mungkin kerana perkara tersebut mula-mula terjadi, warna birunya tidak begitu ketara tetapi ketika ini warna biru begitu jelas dan amat cantik  sehingga dapat dirakam melalui telefon bimbit,” jelasnya.

Katanya pemandangan fenomena air mata biru itu kini boleh dinikmati orang ramai di pantai-pantai di Miri seperti Pantai Lutong, Piasau Boat Club, Luak Esplanade, Beach Republic, Brighton, Taman Selera serta Pantai Beraya.

“Daripada semua lokasi tersebut, kejadian atau fenomena yang berlaku pada Ahad lalu di Pantai Luak Esplanande paling cantik dan mengagumkan pernah saya lihat,” katanya sambil memberitahu beliau bersama seorang lagi jurugambar pergi ke Pantai Lutong sebelum ke Pantai Luak Esplanade.

Menurut Jason, meskipun gambar diambilnya mungkin tidak sebaik gambar dirakam Albert namun beliau berpuas hati dan amat gembira kerana berpeluang merakam fenomena yang amat jarang berlaku itu.

Tambahnya, Pantai Luak Esplanade sebelum ini agak sepi daripada kunjungan orang ramai pada malam hari kerana bimbang isu keselamatan namun selepas fenomena itu tersebar dengan meluas di media sosial dan surat khabar, kini keadaan di pantai berkenaan tidak ubah seperti berlangsungnya sebuah festival yang bermandikan cahaya biru.

“Orang ramai berduyun-duyun datang ke Luak Esplanade menyaksikan sendiri fenomena tersebut yang jarang berlaku di sini dan hanya ditemui di pantai-pantai tertentu seperti Matsu Islands di Taiwan, Vaadhoo di Kepulauan Maldives serta pantai-pantai di Amerika Syarikat, Caribbean, Eropah dan Australia,” katanya.

BIRU: Pemandangan air mata biru di Pantai Luak Esplanade  yang menarik perhatian ramai penduduk di Miri dengan masing-masing mahu merakam sendiri fenomena tersebut.

BIRU: Pemandangan air mata biru di Pantai Luak Esplanade
yang menarik perhatian ramai penduduk di Miri dengan masing-masing mahu merakam sendiri fenomena tersebut.

Berita berkenaan fenomena air mata biru di Miri dikongsikan oleh orang ramai di media sosial dengan rakan-rakan dari negara lain seperti Taiwan dan Jepun.

Sementara itu, fenomena air mata biru adalah cahaya biru terang terhasil daripada ‘plankton’ yang bertindak balas dengan oksigen dalam air laut untuk menghasilkan cahaya lebih cerah daripada Galaksi Bima Sakti.

Fenomena semula jadi ini dinamakan ‘bio-luminescence’, yang jarang dilihat berlaku terlalu hampir dengan daratan dan setiap kali gelombang kecil menghempas pesisir pantai ia mengeluarkan seperti lembaran kilat berwarna biru.

Plankton ini menghasilkan pertunjukan cahaya dan tertumpu di sepanjang pinggiran pantai.

Organisma yang menghasilkannya adalah cukup besar untuk dilihat dengan mata kasar.

Menurut pakar, fenomena itu tercetus apabila dalam keadaan bersesakan setiap organisma akan mengeluarkan cahaya biru kilat dihasilkan oleh tindak balas kimia di dalam sel mereka.

Fenomena yang jarang berlaku ini biasanya hanya dapat dilihat jauh dari daratan apabila kapal mengganggu dasar laut.

UNIK: Warna biru kilat terhasil dalam alunan kecil ombak setiap kali ia memukul pantai mencetuskan fenomena digelar air mata biru yang unik dan mengagumkan. — Gambar Jason Chang (See Hua)

UNIK: Warna biru kilat terhasil dalam alunan kecil ombak setiap kali ia memukul pantai mencetuskan fenomena digelar air mata biru yang unik dan mengagumkan. — Gambar Jason Chang (See Hua)