Hari Sukan Sabtu ini, keadaan jerebu dipantau

0

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan akan terus memantau keadaan jerebu sehingga Hari Sukan Negara yang julung kali bakal diadakan Sabtu ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan berkata pada masa ini, tiada sebarang acara sempena Hari Sukan Negara ditunda atau dibatalkan akibat jerebu.

“Kita telah merancang Hari Sukan Negara sejak awal tahun lagi, dan jerebu sesuatu diluar jangkaan. Lebih lapan juta rakyat daripada golongan belia dan dewasa dijangka menyertai program-program Hari Sukan Negara.

“Pada hari ini agak terkawal dan kami berharap keadaan jerebu akan bertambah baik. Kami akan mengeluarkan garis panduan dalam masa satu atau dua hari ini, mengenai jerebu bagi Hari Sukan Negara,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Beliau turut meminta semua agensi di bawah kementerian dan penganjur yang terlibat dengan program-program bersempena Hari Sukan Negara supaya bersedia dengan pelan alternatif seperti mencari venue tertutup bagi menjamin kesihatan peserta.

Setakat 12 tengah hari ini, sebanyak 13 kawasan mencatat Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat berbanding 15 kawasan pada sebelah pagi semalam, iaitu Alor Setar (139), Bakar Arang, Sungai Petani (135), Langkawi (149), Bandaraya Melaka (103) dan Bukit Rambai (102).

Selain itu, Jalan Tasek, Ipoh (109), Kampung Air Putih, Taiping (145), Sekolah Kebangsaan Jalan Pegoh, Ipoh (131), Seri Manjung (129), Kangar (122), Perai (137), Seberang Jaya 2, Perai (155) dan Universiti Sains Malaysia (155).

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata kementerian tidak boleh mengambil keputusan membatalkan Hari Sukan Negara kerana ia diadakan di seluruh negara dan bacaan IPU adalah berbeza mengikut kawasan.

Sementara itu, Saravanan mencadangkan rakyat yang tidak menyertai acara pada Hari Sukan Negara supaya berpakaian sukan pada hari berkenaan bagi menunjukkan semangat kesukanan. — Bernama