Kastam patah tiga cubaan seludup minuman keras, rokok bernilai RM4.1j

0

JOHOR BAHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Johor) berjaya mematahkan tiga cubaan menyeludup minuman keras dan rokok jenis kretek dan putih ke negara ini yang berjumlah RM4.1 juta termasuk cukai, sejak 28 Sept lalu.

Timbalan Pengarah Kastam negeri, Abu Hanipah Abdul Rahman berkata, dalam ketiga cubaan itu, pihaknya turut menahan dua pemandu tempatan masing-masing berumur 20 dan 30 tahun kerana bersubahat dalam penyeludupan berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu kini ditahan reman selama 12 hari.

Abu Hanipah berkata, kes penyeludupan pertama terbongkar apabila sepasukan anggota memeriksa empat buah kontena di Customs Inspection Bay di Pelabuhan Pasir Gudang di sini, Isnin lepas.

Menurutnya, kesemua kontena itu mengandungi pelbagai jenis minuman keras yang tidak dicukaikan dan ekoran itu, ia telah disita dan dibawa balik ke Stor Penguatkuasaan Kastam Johor Baharu bagi siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan minuman keras itu termasuk cukai dan duti adalah dianggarkan RM3.7 juta,” kata beliau dalam sidang media, di sini semalam.

Bagi kes kedua, ia dikesan melalui pemantauan Ops Cegah di Bangunan Sultan Iskandar pada 3 Okt kira-kira jam 10.30 pagi.

Abu Hanipah berkata, ketika itu, sebuah van Nissan Hiace yang disyaki membawa barang dagangan yang belum diluluskan oleh Kastam, telah keluar dari pusat pemeriksaan kompleks tersebut.

Apabila cuba ditahan, pemandunya terus memecut laju ke arah lebuh raya berhampiran menyebabkan Kastam terpaksa mengejar sehingga ke Persimpangan Jalan Kangkar Tebrau/Kampung Baru Pandan dan ia kemudian melanggar pembahagi simpang jalan dan sebuah lori pembacuh simen.

“Hasil pemeriksaan mendapati van tersebut dimuatkan dengan kotak-kotak berisi rokok kretek. Barang-barang kes dan pemandu van kemudian dibawa balik ke Pejabat Operasi Bahagian Penguatkuasaan Kastam di sini,” jelasnya.

Beliau menambah, kesemua rokok kretek itu dianggarkan bernilai RM199,098.24 termasuk duti dan cukai.

Abu Hanipah berkata, kes ketiga pula terbongkar pada hari sama (3 Okt) kira-kira pukul 10.30 pagi selepas seorang anggota membuat pemeriksaan ke atas sebuah van.

Katanya, van itu sebelum itu, diarahkan untuk berhenti ketika tiba di Laluan Kenderaan Ringan Kompleks Bangunan Sultan Iskandar di sini namun pemandunya tidak mengendahkan arahan dan terus mengubah laluan ke lorong berlainan.

“Dengan bantuan dua lagi anggota dari cawangan Customs Border Management (CBM), van itu berjaya ditahan dan selepas itu kami menemui sejumlah rokok putih berjenama Double Happiness di bahagian belakang kenderaan terbabit.

“Rokok-rokok itu dianggarkan bernilai RM248,933.60 dengan duti dan cukai,” katanya.

Abu Hanipah berkata, ketiga kes itu masing-masing disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967 yang dibacakan bersama Seksyen 26(1) Akta Zon Bebas 1990 dan Seskyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. — Bernama