Kuasa bola sepak Samarahan

0

Yayasan Sarawak – Sanjung Etika melengkapkan misi merangkul kejuaraan ‘treble’

Oleh Harry Ilias //

UNGGUL: Barisan pemain dan jurulatih Yayasan Sarawak – Sanjung Etika meraikan kejayaan bersama Abu Bakar (tengah), Haidel (sembilan kiri) dan penganjur di Kompleks Sukan Asajaya petang Ahad lalu.

UNGGUL: Barisan pemain dan jurulatih Yayasan Sarawak – Sanjung Etika meraikan kejayaan bersama Abu Bakar (tengah), Haidel (sembilan kiri) dan penganjur di Kompleks Sukan Asajaya petang Ahad lalu.

KUCHING: Yayasan Sarawak – Sanjung Etika membuktikan keunggulannya melengkapkan misi merangkul kejuaraan ‘treble’ apabila menjuarai Piala FA Samarahan 2015 dengan menewaskan Ocean Eagle FC Samarahan 6-1 pada perlawanan akhir di Kompleks Sukan Asajaya lewat petang Ahad lalu.

Ini merupakan trofi ketiga buat skuad kendalian Hassan Jahid selepas menjuarai Piala Sumbangsih 2015 dan Liga Samarahan 2015 pada awal musim ini.

Gol-gol Yayasan Sarawak – Sanjung Etika semuanya hadir pada separuh masa kedua selepas dikejutkan dengan jaringan pembukaan Ocean Eagle menerusi kapten, Mohd Rizal Ya’akub pada minit ke- 37.

Penyerang prolifik, Paul Sambang meledak dua gol pada minit ke-48 dan ke-55 manakala bekas pemain Sarawak, Sufizal Ismail turut menjanakan dua gol pada minit ke-68 dan ke-70.

Dua lagi gol Yayasan Sarawak – Sanjung Etika disumbangkan oleh Ahmad Mubin Hamlet pada minit ke-53 dan jaringan sendiri pemain Ocean Eagle, Hairy Jufizzal Ahmad pada mi n i t ke-87.

“Syabas kepada semua pemain kerana merealisasikan impian merangkul kejuaraan ‘treble’,” kata Hassan ketika diminta mengulas kejayaan skuad bimbingannya selepas tamat perlawanan.

Katanya, kejayaan manis itu adalah berkat komitmen dan dedikasi semua pemain dan pihak pengurusan.

Menurut Hassan, fokus mereka seterusnya adalah memburu kejuaraan dalam kempen Liga Juara-Juara Sarawak 2015 yang akan bermula pada 27 Oktober ini.

Kemenangan itu membolehkan Yayasan Sarawak – Sanjung Etika membawa pulang hadiah wang tunai, piala pusingan, piala iringan dan pingat.

Manakala Ocean Eagle menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan pingat.

Turut disampaikan hadiah juara, naib juara dan tempat ketiga Liga Samarahan 2015 dan Piala Sumbangsih.

Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohammad Abu Bakar Marzuki menyampaikan hadiah sambil diiringi Presiden Persatuan Bola Sepak Bahagian Samarahan (PBBS), Haidel Heli.