MAKSAK Limbang berperanan penting melahirkan atlet sukan

0

LIMBANG: Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) Bahagian Limbang, memainkan peranan penting dalam melahirkan atlet sukan di kawasan utara negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata banyak kejohanan dan acara sukan dianjurkan MAKSAK Limbang sebelum ini.

Katanya, usaha MAKSAK melahirkan ramai atlet sukan di Bahagian Limbang sentiasa disokong sama ada mewakili negeri dan kebangsaan pada masa depan dalam pelbagai kejohanan.

“Kejohanan ini adalah usaha MAKSAK mencungkil bakat-bakat atlet dalam pelbagai acara sukan,” katanya pada penutupan Kejohanan Balapan dan Padang MAKSAK Bahagian Limbang di Kompleks Sukan Limbang petang kelmarin.

Turut sama wakil Residen yang juga Pengerusi MAKSAK Limbang Selamat Jati Yanjah, Pemanca Nicholas Buyok, Pemanca Alie Jahar, Pemanca Lee Boon Ming dan kenamaan lain.

Dr Abdul Rahman berkata, kejayaan penganjuran kejohanan buat julung kalinya adalah berkat semangat berpasukan dan kerjasama semua jabatan dan agensi kerajaan terlibat.

“Kejohanan ini juga amat penting dalam usaha kita membudaya gaya hidup sihat dan fokus kepada kesihatan,” ujarnya.

Katanya, melalui kesihatan yang baik akan menjadi faktor penentu kepada prestasi kerja pelbagai jabatan kerajaan.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM20,000.

Sebanyak 16 kontinjen menyertai kejohanan merangkumi 50 acara dipertandingkan membabitkan 45 acara balapan dan lima acara padang.

Kejohanan sulung itu diadakan dalam usaha melahirkan atlet-atlet berpotensi untuk mengibar cabaran pada kejohanan sama anjuran MAKSAK Negeri pada masa depan.