Miri mempunyai kumpulan penjenayah tegar, kata Gan

0

Namun ia hanya satu peratus daripada jumlah populasi bandar raya Miri yang kini 370,000 orang

Oleh Rosemaria Buma //

MIRI: Miri mempunyai kumpulan penjenayah tegar namun hanya mewakili satu peratus daripada jumlah populasi bandar raya Miri yang kini seramai 370,000 orang.

Menurut Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Sarawak Senior Asisten Komisioner (SAC) Gan Tian Kee, daripada jumlah itu, sembilan orang merupakan golongan penjenayah yang cenderung melakukan jenayah setiap kali ada peluang dan ruang.

“Buat masa ini, beberapa penjenayah tegar sedang meringkuk di dalam penjara dan apabila dibebaskan bila-bila masa dalam tempoh dua atau tiga bulan dari sekarang mereka akan mengulangi perbuatan sama.

“Pernah berlaku tahun lalu, seorang penjenayah baharu dibebaskan daripada penjara kembali melakukan jenayah,” katanya,

Beliau berkata demikian pada Majlis Serah Terima Tugas antara Timbalan Ketua Polis Daerah (KPD) Miri Superintenden Stanley Jonathan Ringgit dan Asisten Komisioner Polis (ACP) Junaidi Bujang selaku KPD Miri yang baharu.

Majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat Polis Daerah Miri di sini pagi semalam, disaksikan Gan yang mewakili Pesuruhjaya Polis Sarawak serta merupakan bekas KPD Miri.

Menurut Gan, keadaan jenayah di Miri masih terkawal dan sepanjang bertugas di sini beliau tidak pernah berdepan dengan masalah (kes) terlalu besar dan rumit diselesaikan.

Selain itu, terdapat juga kes melibatkan kegiatan penyalahgunaan dadah berlaku di Miri yang juga dalam keadaan terkawal.

Justeru, ACP Junaidi sebagai seorang pegawai berpengalaman luas dalam bidang kepolisan serta pernah bertugas di pelbagai kawasan merupakan seorang ketua yang layak mengetuai IPD Miri.

Sehubungan itu, beliau berharap kerjasama sepenuhnya semua bahagian di IPD diberi kepada ACP Junaidi sebagai mana yang pernah mereka berikan kepada beliau semasa menjawat jawatan KPD Miri dahulu.

“Sepanjang bertugas selama setahun empat bulan di Miri, saya hanya ada sedikit pengalaman pahit dan kebanyakannya pengalaman manis belaka.

“Semua pegawai dan anggota di sini amat bekerjasama dengan saya dalam melaksanakan tugas demi kebaikan Miri,” katanya.