DP Ice Cream taja skuad sepak takraw Betong/Saratok

0

KUCHING: Skuad sepak takraw Betong/Saratok mendapat suntikan moral menghadapi saingan Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Menteri Sarawak/Piala Sarawak 2015 yang akan berlangsung di Dewan Sepak Takraw Sarawak, Petra Jaya bermula 21 hingga 25 Oktober ini.

Ini kerana syarikat tempatan, DP Ice Cream Gula Apong bersetuju menaja skuad itu sepanjang kejohanan berlangsung di sini.

Pengerusi Eksekutif DP Ice Cream Gula Apong, Datuk Dr Paruwadi Musa berkata tajaan dalam bentuk penyediaan tempat tinggal serta jersi bagi pemain-pemain dan pengurus skuad Betong/Saratok.

“Harapan saya agar tajaan ini sedikti sebanyak dapat menyuntikkan semangat pemain- pemain sepak takraw Betong/Saratok agar mereka mampu memberi persembahan terbaik pada kejohanan itu nanti.

“Selain itu, ia bagi menggalakkan pemain-pemain dari bahagian tersebut menonjolkan bakat-bakat mereka supaya dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya semasa merasmikan pembukaan cawangan keenam DP Ice Cream Gula Apong di pusat membeli-belah Emart Batu Kawa semalam.

Menurut Paruwadi, Persatuan Sepak Takraw Betong/ Saratok akan menghantar lima regu termasuk dua regu veteran bagi memburu kejuaraan pada kejohanan berprestij selama lima hari itu.

Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Menteri Sarawak/ Piala Sarawak 2015 anjuran Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS) mempertandingkan tiga kategori iaitu berpasukan lelaki, regu lelaki terbuka dan regu veteran terbuka (45 tahun ke atas).