Manfaatkan sebaik mungkin pameran kerjaya

0

Banyak pameran diadakan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan kriteria diperlukan majikan

PENGHARGAAN: Rosey menerima cenderamata daripada Kadim (kiri) pada majlis berkenaan semalam sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman (dua kiri) serta yang lain.

PENGHARGAAN: Rosey menerima cenderamata daripada Kadim (kiri) pada majlis berkenaan semalam sambil disaksikan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Mohd Fadzil Abdul Rahman (dua kiri) serta yang lain.

Oleh Jessica Jawing //

KOTA SAMARAHAN: Graduan atau pelajar universiti tempatan disaran memanfaatkan sebaik mungkin pameran kerjaya yang diadakan dalam usaha mencari pekerjaan menepati pasaran kerja.

Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak dan Pembangunan Keluarga Rosey Yunus berkata banyak pameran yang diadakan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan dan kriteria diperlukan termasuk Pameran Pendidikan, Karier dan Inovasi (ICE) 2015 Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Dalam pameran ini banyak syarikat terlibat dan pelajar serta graduan boleh berhubung terus dengan mereka selain mengetahui keperluan dan kelayakan diperlukan syarikat.

“Ini adalah platform yang sangat penting khasnya bagi graduan atau pelajar UNIMAS dan saya harap anda mengambil peluang ini… tidak ada alasan tidak tahu, tidak ada peluang atau tidak tahu apa dilakukan kerana semuanya ada di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pameran Kerjaya Sektor Tumpuan Utama (SFCF) anjuran bersama UNIMAS dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sempena ICE 2015 di UNIMAS di sini, semalam.

Rosey yang mewakili Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah menjelaskan, malahan pameran berkenaan membolehkan graduan berhubung dan mengadakan temu duga terus.

“Pameran diadakan untuk menemukan pelajar khasnya daripada UNIMAS dengan bakal majikan masing-masing dan bagi syarikat pula, mereka memperkenalkan bidang kerja.

“Ini peluang amat baik kepada graduan untuk mendapat peluang dan ada yang terus menyediakan temu duga terus kepada pelajar,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UNIMAS Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi pada sidang media yang sama berkata penyertaan 80 syarikat dalam ICE 2015 membuktikan bahawa UNIMAS menjadi pilihan mereka.

UNIMAS katanya, sama seperti universiti awam lain di Malaysia yang menjadi pilihan syarikat tertentu dalam peluang pekerjaan.

“Secara keseluruhannya jika dilihat selepas enam bulan tamat pengajian, 80 peratus graduan kami mendapat pekerjaan.

“Ini adalah satu angka yang amat baik dan setanding dengan universiti awam lain di negara ini, malahan ada antara bidang di UNIMAS ini sangat popular di kalangan majikan,” katanya.

ICE 2015 yang diadakan selama dua hari bermula semalam dan berakhir hari ini, disertai 80 syarikat dari Semenanjung Malaysia dan tempatan.

Pada majlis yang sama Rosey turut mengumumkan peruntukan daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebanyak RM10,000 bagi program ICE.