Meriahkan Hari Sukan Negara

0

Pelbagai aktiviti disediakan kepada orang ramai berkunjung ke Padang Merdeka

SERTAI KAMI: Abdul Harris (tengah) bersama kakitangan yang lain mempamer isyarat tiga hari lagi Hari Sukan Negara pada sidang media di Kuching semalam.

SERTAI KAMI: Abdul Harris (tengah) bersama kakitangan yang lain mempamer isyarat tiga hari lagi Hari Sukan Negara pada sidang media di Kuching semalam.

Oleh Harry Ilias //

KUCHING: Program Hari Sukan Negara 2015 Peringkat Negeri Sarawak akan berlangsung di Padang Merdeka, di sini Sabtu ini (10 Oktober) padat dengan pelbagai aktiviti disediakan khas untuk orang ramai yang datang berkunjung.

Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Sarawak, Abdul Harris Ishak berkata selain dua acara utama iaitu Larian (5km) dan berbasikal (10km-30km) program sehari itu bakal dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan.

Antaranya zumba, seni mempertahankan diri, Xgames (skateboard), pameran, jualan barangan sukan selain Anugerah Sukan Untuk Semua (ASUS) serta Fit Malaysia Fest, Mr Gym, Frisbee dan mari mencuba alat kecergasan.

“Bukan itu sahaja, peserta terlibat juga berpeluang membawa pulang pelbagai hadiah misteri menerusi peraduan cabutan bertuah,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Abdul Harris berkata, acara utama hari tersebut adalah Larian (Fun Run) dan berbasikal yang melibatkan peserta dari pelbagai peringkat umur.

“Bagi menambah kemeriahan program itu pihaknya turut menyediakan pelbagai hadiah kepada pemenang cabutan bertuah seperti basikal, televisyen dan telefon bimbit,” ujarnya.

Abdul Harris berkata, 500 peserta yang mendaftar awal akan menerima cenderamata berupa baju T dan sijil penyertaan.

“Sehubungan itu, kita menyeru orang ramai agar datang beramai-ramai memeriahkan program Hari Sukan Negara 2015 pada Sabtu ini.

“Penyertaan masih dibuka kepada orang ramai. Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Ronnie Boniface Ngi di talian 013-8641182,” tambah beliau.

Menteri Pembangunan Sosial, Tan Sri William Mawan Ikom dijangka akan merasmikan program yang berlangsung serentak seluruh negara.