MINDEF sedia bantu bawa masuk pelarian Syria ke negara ini

0
WAJAH KEGEMBIRAAN: Hishammuddin (tengah) bergambar bersama para pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada majlis prapelancaran ‘Malaysian United Run’ di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

WAJAH KEGEMBIRAAN: Hishammuddin (tengah) bergambar bersama para pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada majlis prapelancaran ‘Malaysian United Run’ di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menyatakan kesediaan untuk memberi sepenuh komitmen terhadap usaha membawa masuk 3,000 pelarian Syria ke negara ini.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menyahut hasrat berkenaan yang disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Khamis lepas.

“Ini kerana ia berlandaskan kepada hak keperimanusiaan yang akan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara lain yang terlibat dalam membantu mereka,” katanya selepas melancarkan ‘Malaysians United Run 2015’ di sini semalam.

Perdana Menteri menyatakan kesediaan Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun bagi membantu meringankan krisis pelarian yang menyebabkan tekanan sosial dan ekonomi kepada negara Eropah.

Hishammuddin berkata bentuk bantuan akan diputuskan Kementerian Dalam Negeri.

Mengenai ‘Malaysians United Run 2015’, Hishammuddin berkata program anjuran Institut Onn Jaafar itu diadakan julung kali bagi menyemai semangat perpaduan dan cintakan negara dalam kalangan generasi muda.

Ditanya sekiranya situasi jerebu diambil kira, Hishammuddin berkata aras maksimum bacaan Indeks Pencemaran Udara bagi program itu akan ditetapkan.

Katanya sejumlah 15,000 pelajar berusia 18 hingga 24 tahun dari 27 institusi pengajian tinggi tempatan akan terlibat dalam larian itu, sekali gus melakar nama dalam Malaysia Book of Records sebagai program larian sukarela melibatkan penyertaan terbesar pelajar institusi pengajian tinggi.

Larian sejauh empat kilometer itu akan diadakan di Padang Merbok, Kuala Lumpur, 1 Nov ini dari jam 6.30 pagi sehingga 10 pagi dan akan turut disertai Hishammuddin. — Bernama