Penoreh getah kena 65 tahun, 18 sebatan

0

Tertuduh mengaku bersalah empat pertuduhan cuba dan merogol kanak-kanak

KOTA KINABALU: Seorang penoreh getah yang disabitkan dengan empat kesalahan merogol kanak-kanak, antaranya dua cubaan melakukan kesalahan itu, menerima akibat apabila dijatuhkan hukuman penjara 65 tahun dan 18 sebatan.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Petrus Jung, 30, selepas mengaku bersalah untuk semua pertuduhan itu.

Pertama, pada 5 Disember tahun lalu jam 1 petang, di dalam hutan di sebuah kampung di Penampang, tertuduh cuba merogol mangsa yang berusia 11 tahun dan turut menyebabkan kecederaan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama, memperuntukkan hukuman penjara minimum 10 tahun dan maksimum 30 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua, tertuduh sekali lagi didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) kanun sama, apabila merogol dan mencederakan mangsa berusia 11 tahun, pada 15 Jun tahun ini jam 1.40 petang di dalam semak, di jalan sebuah kampung di daerah Kota Marudu.

Ketiga, pada 7 Julai tahun lalu jam 1.30 petang di dalam hutan di Kota Marudu, tertuduh merogol dan meletakkan mangsa yang berusia 11 tahun dalam ketakutan kematian.

Untuk itu, Petrus didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (b) Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara antara 10 tahun hingga 30 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Keempat, pada 27 Jun tahun ini jam 10.30 pagi, di dalam kebun sawit dan getah di daerah Kota Belud, tertuduh cuba merogol dan menyebabkan kecederaan terhadap mangsa yang berusia 12 tahun.

Bagi pertuduhan pertama, Petrus dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan rotan. Manakala kedua dan ketiga, masing-masing dipenjara 20 tahun dan enam sebatan.

Sementara itu, untuk pertuduhan keempat, tertuduh dipenjara 15 tahun dan tiga sebat. Mahkamah memerintahkan setiap hukuman itu berjalan berasingan.

Modus operandi yang dilakukan oleh tertuduh ialah menggunakan motosikal untuk bergerak, selain memperdayakan mangsa untuk dibawa ke kawasan semak.

Hasil siasatan untuk fakta kes yang pertama, mangsa dan adiknya ke sebuah pasar raya di pekan Donggongon, sebelum dihampiri oleh tertuduh.

Tertuduh yang berlakon menghubungi ayah mereka menyatakan, ayah mangsa minta diambil dan sedang menunggu di satu tempat kerana membeli motosikal baharu.

Bagaimanapun, hanya mangsa yang dibawa tertuduh menaiki motosikal dan adiknya dihantar ke bilik sewa.

Setibanya di kawasan semak di atas bukit, tertuduh memeluk dan cuba merogol mangsa. Namun mangsa melawan dan mengakibatkannya dipukul oleh tertuduh.

Namun, mangsa dapat melepaskan diri setelah jatuh ke dalam belukar berhampiran dan diselamatkan oleh orang awam.

Fakta kes seterusnya, tertuduh berpura-pura ingin membeli burung dan meminta mangsa dan adiknya menunjukkan jalan dengan menaiki motosikal.

Namun adik mangsa ditinggalkan di satu simpang, sebaliknya mangsa dibawa ke kawasan penanaman kelapa sawit. Mangsa diseret kemudiannya dirogol.

Turut berlaku pergelutan apabila mangsa menendang tertuduh untuk melepaskan diri, namun dipukul dan dicekik sehingga tidak dapat melawan.

Selepas itu, tertuduh melarikan diri dan meninggalkannya. Kemudian, mangsa berjalan keluar dari kawasan itu sehingga berjumpa adiknya.

Kedua-dua beradik itu pergi ke sebuah restoran dan pemilik restoran berkenaan menghubungi ibu mereka.

Ketiga, polis mendapati mangsa dan sepupunya diajak oleh tertuduh untuk menaiki sebuah motosikalnya dan seterusnya dibawa ke kawasan semak.

Tertuduh juga mencekik mangsa dan menyatakan akan membunuh mangsa jikalau tidak mengikuti kemahuannya.

Keempat, pada hari kejadian mangsa dan dua orang adiknya berjalan kaki dari pekan Kota Belud untuk balik ke rumahnya.

Semasa dalam perjalanan, mereka berehat di simpang Kem Paradise, tertuduh yang menaiki motosikal ternampak pengadu dan pergi menghampiri untuk menawarkan bantuan untuk pulang.

Tertuduh juga mengatakan rakan kepada ibu bapa mangsa. Setelah itu, mangsa dibawa ke satu kawasan semak di kebun getah dan kelapa sawit.

Mangsa melawan, tetapi tertuduh menumbuk muka mangsa sehingga terjatuh. Bagaimanapun, selepas bergelut, mangsa dapat melarikan diri dan bersembunyi di kawasan semak.

Peguam Hamid Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) berkata, beliau hanya mewakili tertuduh bagi matigasi pertuduhan pertama.

“Pengakuan salah menjimatkan masa mahkamah. Kami mohon hukuman bermula dari tarikh tangkap. Tertuduh juga seorang yang tidak berpendidikan apabila hanya belajar setakat tingkatan satu,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya Akmalzatul Mohamed Nawi menegaskan, tertuduh melakukan kesalahan serius kerana semua mangsa adalah kanak-kanak.

“Mohon mahkamah mempertimbangkan trauma dan ketakutan yang dialami oleh semua mangsa,” katanya dan menambah, peruntukan bagi kesalahan itu menunjukkan parlimen mengambil perhatian yang serius.

Oleh itu, Akmalzatul meminta hukuman berat dijatuhkan terhadap Petrus yang tidak diwakili peguam bagi pertuduhan yang selebihnya.

Dalam pada itu, tertuduh merayu agar hukumannya diringankan dan berjalan serentak, kerana isterinya hanya melakukan kerja kampung bagi menyara anak-anak mereka.

Mahkamah memerintahkan Petrus menjalani hukuman itu bermula dari tarikh sabitan.