Polis Sandakan selesaikan 11 kes pecah kedai

0

SANDAKAN: Polis menyelesaikan 11 kes pecah kedai di daerah ini, dengan tertangkapnya seorang lelaki warga Filipina dan merampas 29 barangan hasil kegiatannya itu.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Zabidi Md Zain berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Rajawali Jalan Airport pada 22 Sept lepas.

Katanya 11 kes pecah kedai itu dilaporkan berlaku sepanjang Ogos hingga September lepas, membabitkan premis antaranya restoran, pejabat guaman, syarikat swasta dan pusat hiburan di kawasan kedai Batu 4 hingga Batu 10.

Lelaki terbabit yang positif mengambil dadah jenis syabu melakukan kegiatan itu secara individu, katanya pada sidang media di sini semalam.

Zabidi berkata lelaki itu juga mempunyai dua rekod kesalahan lampau membabitkan kes pecah rumah dan pencerobohan.

Dalam kes berasingan, Zabidi berkata polis juga menyelesaikan satu kes samun berikutan penahanan seorang lelaki berusia 26 tahun.

Kes samun itu dilaporkan berlaku pada 26 Sept lepas di kawasan Pasaraya Wong Yun Kee di Batu 3 dekat sini.

Katanya lelaki rakyat tempatan itu ditahan selepas tiga hari kes itu berlaku apabila polis menyerbu sebuah rumah di Taman Mawar Batu 5 dekat sini.

Beliau berkata sebuah motosikal milik teman wanita lelaki itu turut dirampas dalam serbuan berkenaan, dipercayai digunakan dalam kes samun tersebut.

Katanya lelaki itu yang positif menggunakan dadah jenis syabu mempunyai tiga rekod kesalahan lampau membabitkan kes pecah rumah, curi kenderaan dan ugutan.

Zabidi berkata secara keseluruhan, indeks jenayah di daerah ini mencatat penurunan 18 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh sama tahun lepas. — Bernama