Warga emas rebah lalu temui ajal

0
TRAGIS: Pauji ditemui terlentang selepas rebah, semalam.

TRAGIS: Pauji ditemui terlentang selepas rebah, semalam.

LIMBANG: Hasrat seorang lelaki warga emas mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) hujung bulan ini tidak kesampaian apabila rebah dan meninggal dunia di tepi jalan berhampiran simpang Taman Cahaya di sini, tengah hari semalam.

Dalam kejadian pada jam 11.40 pagi, Pauji Zainudin, 74, dikatakan menolak motosikalnya yang pancit menuju ke sebuah kedai mekanik di taman tersebut.

Bagaimanapun, dalam keadaan cuaca panas, beliau dipercayai tiba-tiba rebah di tepi jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Pegawai Penyiasat, Sarjan Junau ketika dihubungi berkata mangsa dikatakan rebah secara tiba-tiba berdasarkan maklumat orang awam.

“Menurut anaknya, mangsa mempunyai temu janji untuk mendapatkan rawatan di HUS hujung bulan ini berhubung penyakit jantung, buah pinggang dan asma yang dihidapinya sebelum ini,” katanya.

Mangsa ditemui terbaring dalam keadaan melentang di bahu jalan sebelum dihantar ke Hospital Limbang. Mayat mangsa sudah dituntut ahli keluarganya.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.