Dadah: Penglibatan remaja semakin serius

0

Bilangan remaja 16 dan 19 tahun menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus

KUALA LUMPUR: Penglibatan remaja, khususnya pelajar sekolah, dalam penagihan dadah semakin membimbangkan dengan jumlah mereka meningkat daripada 847 orang pada 2013 kepada 1,114 pada 2014.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Masir Kujat berkata remaja yang terlibat berusia antara 16 dan 19 tahun dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 35 peratus.

“Penglibatan remaja khususnya pelajar sekolah dalam penagihan dadah semakin serius.

“Oleh itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengambil langkah agresif dengan mengadakan program pencegahan dan rawatan bersama Kementerian Pendidikan dan sekolah yang berada di kawasan berisiko tinggi,” katanya pada sidang media Majlis Anugerah Pengiktirafan Kepulihan Klien AADK 2015 di sini, semalam.

Justeru beliau menyeru semua pihak termasuk ibu bapa memantau aktiviti harian anak mereka bagi mengelakkan mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Masir juga menyarankan masyarakat memberi sokongan dengan menerima golongan yang terjebak dengan penagihan dadah agar mereka tidak kembali kepada perbuatan silam mereka.

Pada majlis itu, seramai 37 individu yang telah pulih dari penagihan dadah menerima Anugerah Pengekalan Kepulihan Klien AADK Tahun 2015 bagi kategori melebihi 20 tahun, 15 tahun dan 10 tahun.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah AADK Datuk Suhaimi Abdullah.

Penerima anugerah bagi kategori Anugerah Emas Kekal Pulih 20 tahun, Ab Kahar Mashuri, 57, menyatakan kekesalan kerana terpengaruh dengan rakan sebaya, yang memujuknya untuk terbabit dengan dadah ketika berusia 15 tahun dengan alasan pengambilan dadah boleh meningkatkan tumpuan untuk bermain bola sepak.

Ab Kahar, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sungai Abong di Muar, Johor, berkata dadah jenis ganja, heroin, candu serta pelbagai pil mudah didapati mendorong remaja terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

“Namun saya bersyukur apabila berhenti dari aktiviti itu pada usia 30 tahun dan tidak terjebak kembali dengan meluangkan masa berniaga hingga kini,” katanya. — Bernama