KDN akan perjelas penempatan 3,000 pelarian Syria, kata Reezal

0
APA KABAR?: Reezal Merican bersama para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis penyampaian APC dan Jasamu DiKenang 2014 di Wisma Putra semalam. — Gambar Bernama

APA KABAR?: Reezal Merican bersama para penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada majlis penyampaian APC dan Jasamu DiKenang 2014 di Wisma Putra semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri akan memberi penjelasan terperinci mengenai 3,000 pelarian Syria yang akan mendapat perlindungan di Malaysia dalam tempoh tiga tahun, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Beliau berkata pada masa sekarang perkara tersebut masih pada peringkat awal.

“Ini masih pada peringkat awal. Tidak ada apa lagi pada saya. KDN yang akan uruskan,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai hasrat Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun.

Minggu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung ke-70 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengumumkan kesediaan Malaysia menerima 3,000 pelarian Syria bagi membantu krisis pelarian rakyat Syria.

Timbalan Perdana Menteri Datuk seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula berkata Malaysia akan menawarkan perlindungan dan pekerjaan sementara kepada semua pelarian terbabit selain kemudahan pendidikan semasa di negara ini.

Sementara itu dalam ucapannya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2014, Reezal Merican menyifatkan tempoh dua bulan tujuh hari beliau selama berada di Wisma Putra sebagai penuh warna dan pengalaman yang pelbagai.

“Saya berpeluang menyertai beberapa perbincangan, mesyuarat dan membuat kenyataan akhbar sehinggalah saya disifatkan sebagai seorang timbalan menteri yang tidak berprotokol.

“Saya menganggap semua pengalaman itu sebagai lengkungan pembelajaran,” katanya.

Pada majlis anugerah hari ini, seramai 61 warga kerja Kementerian Luar yang berkhidmat di Wisma Putra dan  34 lagi warga kerja yang berkhidmat di pejabat perwakilan Malaysia di pelbagai negara menerima anugerah perkhidmatan cemerlang.

Turut diberikan penghargaan ialah 22 pesara yang menerima anugerah Jasamu Dikenang. — Bernama