Nyaris dijilat api, suami berjaya selamat anak isteri

0
SELAMAT: Roy (kanan) dan isteri berjaya menyelamatkan diri.

SELAMAT: Roy (kanan) dan isteri berjaya menyelamatkan diri.

LIMBANG: Seorang kakitangan Jabatan Penjara Limbang berjaya menyelamat dua anak dan isterinya daripada dijilat api, selepas bilik tidurnya di bilik sembilan, Blok Bakawali jabatan itu terlibat dalam kebakaran petang semalam.

Dalam kejadian jam 2 petang itu, Roy 30, baru pulang bertugas di jabatan itu ternampak kepulan asap dari tingkat tiga kediamannya.

Beliau bergegas berlari pulang sebaik melihat melihat asap terbabit kerana menyedari isteri dan dua anaknya tinggal di bilik terbabit.

“Saya hanya memikir dua anak dan isteri berada di dalam bilik kediaman. Sebaik tiba di tingkat tiga, saya bergegas mengambil air dan memadam api bagi mengelak ia merebak ke dapur dan ruang tamu,”katanya ketika ditemui di sini semalam.

Roy menjelaskan api berpunca dari bilik tidur yang memusnahkan semua peralatan dan kelengkapan tidur.

Katanya lagi tiada dokumen berharga yang rosak dalam kebakaran itu.

Sementara itu isteri Roy Nelly 30 memberitahu ketika kejadian beliau sedang menidur anak ketiganya sambil menonton tv.

“Kepulan asap disedari anak kedua saya yang hendak pergi ke bilik mandi dan segera memaklumkan saya,”ujarnya sambil menambah anak pertamanya berada di sekolah ketika itu.

Dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Operasi,Balai Bomba dan Penyelamat Limbang Jack Julang menjelaskan seramai enam anggota bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan sekitar jam 2 petang.

“Dua jentera bergegas ke tempat kejadian dan sebaik tiba, api sudah berjaya dipadamkan pemilik kediaman itu,” katanya.

Punca kejadian dan jumlah kerugian katanya masih dalam siasatan.