Orang Ulu perlu bekerjasama bangunkan Baram

0

Dengan adanya kerjasama erat antara satu sama lain, mereka dapat mengelak timbulnya salah faham

UNTUKMU: Margaret (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada Anyi (enam kiri) sambil disaksikan Dennis (empat kiri) dan yang lainnya.

UNTUKMU: Margaret (lima kiri) menyampaikan cenderamata kepada Anyi (enam kiri) sambil disaksikan Dennis (empat kiri) dan yang lainnya.

// Oleh W. Bolly Ongie //

MARUDI: Masyarakat Orang Ulu yang terdiri daripada suku kaum Berawan, Lakiput, Kayan dan Bisaya di kawasan Tutoh, Baram digesa bekerjasama antara satu sama lain supaya pembangunan dibawa masuk ke daerah Baram dan Telang Usan dapat berjalan lancar.

Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau berkata dengan adanya kerjasama erat antara satu sama lain, mereka dapat mengelak timbulnya salah faham.

“Pada masa sama, senang untuk pemimpin kerajaan membawa dan melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut.

“Lebih-lebih lagi di kawasan tempat tinggal suku kaum minoriti seperti Berawan yang masih ketinggalan  dan amat memerlukan pembangunan,” katanya.

Jelasnya, pada masa sama golongan berkenaan harus menjauhkan diri daripada pembangkang.

Anyi berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Wanita PBB Ranting Tutoh yang diadakan di rumah panjang Long Ukok yang didiami masyarakat Batu Belah (Berawan) Tutoh, kira-kira empat jam perjalanan menaiki perahu dari sini, baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri ADUN Telang Usan Dennis Ngau, Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyi dan Pegawai Daerah Marudi Mackos Sibong.

Mengenai situasi politik di kawasan itu, Anyi turut melahirkan rasa kesal kerana jika penduduknya tidak dapat mengubah minda dan pemikiran, khususnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, ia akan memberi kerugian kepada mereka.

“Pada pandangan saya, lebih baik untuk anda berfikir secara waras dan mendalam, sebelum terburu-buru memberi sokongan.

“Undilah Barisan Nasional jika anda masih mahu menerima pembangunan daripada kerajaan atau masih mahu mendapatkan bantuan daripada  agensi seperti Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Jabatan Pertanian dan sebagainya,” katanya .

Beliau berjanji akan terus melawat kawasan Tutoh termasuk Long Patan, Batu Kalo dan sebagainya supaya rakyat tidak berasa dipinggirkan dan pada masa  sama mendengar masalah serta berusaha membantu menyelesaikannya.

Dalam pada itu, seramai 200 peserta daripada sembilan  kampung menghadiri program tersebut, termasuk mereka yang datang sejauh Kuala Tutoh dan Long Buang.

Pada majlis tersebut, Anyi turut mengumumkan geran RM5,000 untuk JKKK Long Ukok, RM5,000 untuk Pergerakan Wanita Long Ukok dan RM50,000 untuk menyiapkan Dewan Masyarakat Long Ukok.

Sementara itu, ADUN Telang Usan Dennis Ngau turut mengumumkan geran yang sama berjumlah RM20,000.

Turut hadir Pegawai Daerah Baram Mackos Sibong, Pengerusi Pergerakan Wanita PBB Telang Usan Margaret Nawan; pengerusi penganjur Catherin Awing Wan dan ketua masyarakat serta ketua kaum setempat.