Rugi RM3,000 buat pinjaman melalui Wechat

1

SIBU: Hasrat meminjam wang secara atas talian bukan sahaja berisiko tetapi keghairahan seorang pekerja salun untuk meneruskan hajat itu akhirnya mengakibatkan kerugian RM3,000.

Kejadian tersebut berlaku apabila sebuah iklan yang dipamerkan di dalam ‘moment’ Wechat seorang perempuan yang tidak dikenali menarik perhatian lelaki berumur 30 tahun tersebut pada 25 Ogos lalu.

Lantas, selepas berjaya menghubungi pemilik akaun Wechat berkenaan, pengadu dikehendaki menghubungi seorang lelaki dikenali sebagai ‘Jacky’.

Untuk mendapatkan pinjaman 20,000 dengan bayaran bulanan RM500 sebulan, pengadu dikehendaki membayar sebanyak RM3,000 untuk yuran pemprosesan.

Tanpa curiga, pengadu telah memasukkan wang tunai berjumlah RM3,000 keseluruhannya sebanyak tiga kali ke dua akaun yang berlainan sejak 25 September hingga 5 Oktober lalu.

Setelah membuat pembayaran yuran pemprosesan pinjaman termasuk bayaran duti setem, peguam dan insuran selesai pada 5 Oktober, pengadu telah menghubungi Jacky pada jam 9. 21 malam Isnin lalu untuk bertanya tarikh kemasukan wang yang dipohon.

Menurut pengadu, dia kemudian dimaklumkan bahawa wang pinjaman RM20,000 akan dimasukkan dalam tempoh setengah jam.

Namun apabila pengadu memeriksa akaunnya kemudian, wang yang diharapkan itu belum juga wujud dalam akaunnya.

Usaha pengadu menghubungi Jacky beberapa kali tidak berjaya sehingga akhirnya dia tersedar bahawa dia telah menjadi mangsa tipu.

Pengadu telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral mengenai kes tersebut petang semalam.