Sambutan Hari Wanita harus diiktiraf sebagai hari penting

0
SOKONG WANITA: Rubiah (tengah) kelihatan meninjau hasil kraf tangan yang dibuat golongan wanita yang dipamer pada sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Samarahan, semalam.

SOKONG WANITA: Rubiah (tengah) kelihatan meninjau hasil kraf tangan yang dibuat golongan wanita yang dipamer pada sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Sambutan Hari Wanita harus diberi pengiktirafan sebagai hari penting, khusus dalam memartabatkan nilai pengorbanan dan sumbangan golongan wanita.

Menyarankan perkara itu sebagai mesej sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Samarahan, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang berkata, maka sewajarnya masyarakat memanfaatkan hari tersebut untuk meraikan mereka yang bergelar wanita.

Malah katanya, tidak wujud persepsi berunsur diskriminasi antara golongan wanita dan lelaki yang menceburi pelbagai bidang.

“Golongan wanita atau ibu merupakan pemangkin dan tulang belakang sesebuah institusi kekeluargaan dan ia adalah suatu tanggungjawab yang kita kira sebagai tugas akar umbi.

“Namun pada hari ini, wanita berperanan tidak kurang seperti golongan lelaki yang banyak menabur sumbangan khusus dalam usaha membangunkan ekonomi diri, negeri dan negara.

“Justeru, wanita wajar diberi pengiktirafan sekali gus digalak lebih bergiat aktif untuk memajukan diri ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Samarahan 2015 anjuran Pejabat Daerah Samarahan di pusat beli belah The Summer, di sini semalam.

Selain menekankan tentang kepentingan peranan wanita dalam pembangunan modal insan masyarakat hari ini, Rubiah juga mengingatkan masyarakat agar sentiasa mengasihi dan memberi sokongan terhadap golongan ini secara menyeluruh.

“Peranan wanita harus dilihat secara menyeluruh. Tidak hanya di peringkat kebangsaan, malah ia juga harus meliputi peringkat nasional, negeri, daerah serta kampung,” jelasnya.

Katanya peluang yang sama rata perlu diberi kepada golongan wanita dalam bidang keusahawanan, sains perubatan, politik, ekonomi dan sebagainya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Samarahan Mohd Ainnie Wahab berkata, sambutan Hari Wanita peringkat daerah itu menampilkan pelbagai aktiviti seperti pertandingan gubahan bunga, pertandingan menghias kek cawan, pertandingan menganyam ketupat serta demonstrasi solekan.

“Di samping itu, kami juga mengadakan pameran yang dikelolakan oleh agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta jualan produk makanan dan kraf tangan,” katanya.

Selain itu, terdapat juga pameran kesihatan dan saringan pemeriksaan kesihatan percuma diadakan untuk penduduk sekitar.