Suami isteri maut motosikal meletup

0

Mangsa tidak sedar motosikal dipasang bahan letupan buatan sendiri

JALANKAN SIASATAN: Polis Forensik sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian pasangan warga emas yang maut setelah motosikal dinaiki mereka meletup di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kampung Pulai di Gua Musang, semalam. — Gambar Bernama

JALANKAN SIASATAN: Polis Forensik sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian pasangan warga emas yang maut setelah motosikal dinaiki mereka meletup di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kampung Pulai di Gua Musang, semalam. — Gambar Bernama

GUA MUSANG: Pasangan suami isteri warga emas maut selepas motosikal yang dinaiki mereka meletup di Kilometer 10 Jalan Gua Musang-Kampung Pulai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kedua-dua mangsa dikenali sebagai Cha Mok Liong dan isterinya, Fong Ah Fong, masing-masing berusia 72 tahun dari Kampung Batu Papan Dua, di sini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Saiful Bahri Abdullah berkata kejadian itu berlaku ketika pasangan itu yang menaiki motosikal jenis Demak dalam perjalanan ke Kampung Pulai untuk menikmati sarapan pagi selepas selesai menoreh getah.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa tidak menyedari motosikal yang dinaiki mereka telah dipasang dengan bahan letupan yang dipercayai buatan sendiri.

“Berikutan kejadian itu, kita turut menahan seorang pemuda berusia 20-an yang mempunyai kaitan dengan mangsa untuk membantu siasatan dan motif kejadian masih dalam siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini, semalam.

Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga mereka.

Sementara itu, seorang anak saudara mangsa, Ab Rahman Abdullah, 53, berkata  beliau mengetahui kejadian itu pada jam 9.30 pagi dan bergegas ke tempat kejadian.

Dia yang telah lama memeluk Islam berkata kedua-dua bapa dan ibu saudaranya itu berasal dari keluarga yang baik dan memelihara seorang anak angkat.

“Saya sempat melihat mayat kedua-dua mangsa hancur berada di atas jalan. Mereka sering ke Kampung Pulai untuk menikmati sarapan selepas menoreh getah,” katanya. — Bernama