TLDM tubuh TAC tangani jenayah di perairan negara

0

KUALA LUMPUR: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menubuhkan pasukan ‘Tim Atur Cepat’ (TAC) bagi bertindak pantas terhadap kejadian jenayah di perairan negara.

Assisten Ketua Staf Operasi Eksesais MK TL Laksamana Muda Datuk Pahlawan Mior Rosdi Mior Mohd Jaafar berkata TAC akan ditempatkan di Tanjung Pengelih, Johor yang merupakan kawasan tumpuan jenayah maritim di perairan negara.

“TAC terdiri dari dua kumpulan iaitu Tim Tempur dan Tim Penembak Tepat yang terdiri daripada 14 anggota…ia juga dibekalkan dengan dua helikopter Super Lynx dan Fennec serta sebuah bot tempur CB90.

“Dengan wujudnya pasukan ini, jenayah seperti rompakan kapal dagang, aktiviti lanun dapat dipatahkan dengan pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama ‘Anti Sea Robbery Cooperation Working Group’(ASRC WG) di sini, semalam.

Beliau berkata selain menjalankan operasi menyelamat ketika berlakunya kecemasan, TAC juga akan melakukan latihan di atas kapal dagang serta tangki bagi menunjukkan kehadiran pasukan ini di perairan negara.

“TAC ditubuhkan bukan hanya untuk bertindak waktu kecemasan sahaja…kita juga akan melakukan latihan di atas kapal-kapal besar yang sekali gus mempamerkan kehadiran kami kepada lanun,” katanya.

Mesyuarat ASRC WG dihadiri wakil Panglima Tentera Laut dari tujuh negara   ASEAN terdiri daripada Malaysia, Brunei, Thailand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Myanmar.

Antara perkara dipersetujui dalam mesyuarat berkenaan ialah mewujudkan rangkaian hubungan antara negara anggota bagi mengawal keselamatan di perairan rantau ini terutamanya, kawasan barat daya Laut China Selatan. — Bernama