Warga emas maut terjun dari kenderaan

0

Akibat panik kenderaan yang dinaikinya terundur, mangsa terjun untuk selamatkan diri

PANIK: Tiga penumpang kenderaan itu (kiri) yang dalam keadaan panik ditenangkan oleh seorang anggota polis.

PANIK: Tiga penumpang kenderaan itu (kiri) yang dalam keadaan panik ditenangkan oleh seorang anggota polis.

KENINGAU: Seorang wanita maut apabila terjun dari kenderaan yang dinaikinya berikutan enjin kenderaan mati semasa menaiki bukit kemudian terundur menuruni bukit curam di KM6 Jalan Tambunan-Kaingaran dalam daerah Tambunan pada Isnin lalu.

Kejadian itu berlaku ketika kenderaan Perodua Rusa terbabit dalam perjalanan dari arah pekan Tambunan menuju ke Kaingaran.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintenden Douglas Nyeging Taong berkata, dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, kenderaan berkenaan dipandu oleh seorang wanita berumur 57 tahun bersama lima penumpang, merangkumi tiga wanita masing-masing berumur 49 dan 67 tahun termasuk mangsa dan dua penumpang lelaki berumur 27 dan 38 tahun.

Katanya, mangsa yang maut dikenali sebagai Latahim @Sabinah Basilan, 60, beralamat Kampung Sunsuron, Tambunan sementara seorang penumpang lelaki cedera ringan.

Douglas berkata, pada hari kejadian, pengadu yang juga seorang anggota Balai Polis Tambunan telah menerima panggilan telefon daripada orang awam pada jam 10.47 pagi yang mengatakan ada kemalangan melibatkan sebuah kenderaan di Jalan Tambunan-Kaingaran.

“Siasatan mendapati kenderaan Perodua Rusa yang bergerak dari arah pekan Tambunan menuju ke Kaingaran itu telah mati enjin dengan tiba-tiba semasa menaiki bukit, kemudian terundur menuruni bukit curam.

“Semasa terundur, mangsa yang duduk di bahagian penumpang belakang panik dan membuka pintu kenderaan lalu terjun untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Douglas berkata, semasa terjun, kepala mangsa telah terhantuk pada permukaan jalan dan mengalami kecederaan. Selepas kejadian, kenderaan yang dinaiki oleh mangsa tersadai di bahu jalan sebelah kanan arah menuju ke Kaingaran.

Katanya, kenderaan itu datang dari Kampung Sunsuron menuju ke Kaingaran dan ke kebun milik pemandu kenderaan untuk mengambil hasil tanaman halia.

“Mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Tambunan untuk menjalani rawatan dan pada hari yang sama jam 12.30 petang, mangsa telah disahkan meninggal dunia akibat cedera parah di bahagian kepala,” katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sementara kenderaan telah dibawa ke Balai Polis Tambunan untuk siasatan lanjut.