Maut bertembung lori

0

Pemandu maut apabila keretanya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Bintulu malam kelmarin

// Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

BANTU: Anggota bomba dengan dibantu pihak polis sedang melakukan operasi menyelamat mangsa dalam kenderaan Viva yang remuk akibat kemalangan. ­— Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

BANTU: Anggota bomba dengan dibantu pihak polis sedang melakukan operasi menyelamat mangsa dalam kenderaan Viva yang remuk akibat kemalangan. ­— Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

REMUK: Keadaan kereta Viva mangsa remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori malam semalam.-Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

REMUK: Keadaan kereta Viva mangsa remuk teruk selepas terlibat kemalangan dengan sebuah lori malam semalam.-Gambar ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

BINTULU: Seorang lelaki maut apabila kereta Perodua Viva yang dipandunya terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 60 Jalan Pesisir Bintulu-Miri sekitar jam 9 malam kelmarin (Rabu).

Sumber polis memaklumkan bahawa mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Daniel Seliong, 23, memandu dari arah Samalaju ke Bintulu dan lori terbabit dengan muatan batu pula dari arah Bintulu.

Menurutnya, pemandu lori tidak dapat dikenal pasti kerana telah beredar dari tempat kejadian.

“Kejadian itu berlaku apabila kereta Viva tersebut dipercayai memasuki laluan bertentangan lalu melanggar tayar hadapan sebelah kanan lori menyebabkan tayar lori pecah dan hilang kawalan sebelum mengheret kereta mangsa ke bahu jalan sebelah kanan,” ujarnya semalam.

Mangsa berasal dari Rumah Seliong Batu 35, Jalan Bintulu-Miri dan sehingga kini, polis berusaha mengesan pemandu lori melalui nombor pendaftaran pada lori terbabit.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sementara itu, Balai Bomba dan Penyelamat Samalaju menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.06 malam mengenai kemalangan terbabit.

Jentera bomba bersama empat anggota bergegas ke lokasi nahas untuk operasi menyelamat pada jam 9.07 malam diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Pek Layang.

Semasa tiba di lokasi nahas didapati seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu dalam kenderaan Viva yang remuk.

Bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang telah meninggal dunia dalam nahas tersebut.

Operasi mengeluarkan mangsa dari dalam kenderaan yang remuk itu tamat sekitar jam 10.58 malam.