Pelanggan pusat hiburan cedera dilibas samurai

1
HAMPIR PUTUS: Jari tengah sebelah kiri mangsa dipercayai terkena libas dengan samurai.

HAMPIR PUTUS: Jari tengah sebelah kiri mangsa dipercayai terkena libas dengan samurai.

SIBU: Seorang penjawat awam (anggota pasukan keselamatan) yang masih dalam tempoh digantung tugas sejak dua tahun lalu ditahan polis kerana disyaki mencederakan seorang lelaki dengan sebilah ‘samurai’ di sebuah pusat hiburan di Sibu Jaya awal pagi semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 2 pagi, suspek berusia 35 tahun yang digantung kerja kerana masalah disiplin itu dikatakan sengaja mencetus pergaduhan dengan seorang lelaki bersama rakan-rakan lain ketika berada di pusat hiburan.

Menurut mangsa, lelaki itu  memasuki premis pusat hiburan lalu memijak kakinya dan terus bercakap secara kasar dengannya.

Apabila pengadu dan rakan-rakannya bangun dari tempat duduk mereka, suspek terus keluar dari premis itu.

Suspek bagaimanapun masuk semula ke dalam pusat hiburan tersebut lalu bertindak meletakkan samurai di leher mangsa.

Keadaan tegang itu memaksa rakan dan abang mangsa cuba menghalang dan menenangkan suspek yang dipercayai dalam pengaruh alkohol.

Namun keadaan semakin kelam-kabut apabila mangsa berjaya melepaskan diri selepas menepis tangan suspek kerana mempertahankan diri apabila suspek mula menyerang dengan objek tajam tersebut.

Menurut mangsa, satu pergelutan berlaku antara mereka dan salah seorang daripada mangsa menggunakan kerusi bagi mengelak daripada tindakan suspek melibas senjata di dalam genggamannya.

Akibatnya jari tengah sebelah kiri mangsa hampir putus terkena libas suspek.

Mangsa yang kemudian dihantar oleh rakannya ke Hospital Sibu telah menerima dua jahitan di jari tengah tersebut.

Difaham suspek juga mengalami kecederaan di kepala dan menerima empat jahitan di bahagian belakang kepala dan dua jahitan di dahi.

Suspek kini dalam pengawasan polis dan masih menerima rawatan di wad. Samurai milik suspek telah dirampas untuk siasatan kes.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi ketika dihubungi telah mengesahkan kes tersebut dan akan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bersama 324 Kanun Keseksaan.