Regata IPT Borneo buka tirai festival sukan air UNIMAS Sabtu ini

0

KOTA SAMARAHAN: Temasya Sukan Air, Regata IPT Borneo 2015 akan membuka tirai kejohanan pada 16-17 Oktober 2015 (Sabtu) sempena Festival Sukan Air Antara Kolej-Kolej Kediaman UNIMAS, bertempat di Tasik Universiti Malaysia Sarawak.

Regata IPT Borneo 2015 merupakan kejohanan yang julung kali diadakan di UNIMAS kerana ianya melibatkan pelajar-pelajar dari Institut Pengajian Tinggi seluruh Borneo melalui acara perahu kenyalang.

Kejohanan ini merupakan kejohanan anjuran Pusat Sukan UNIMAS dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

Antara IPT Borneo jemputan ialah Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Mara Sarawak, Universiti Teknologi Mara Sabah, Universiti Putra Malaysia Bintulu, Swinburne University Of Technology, Politeknik Kuching, Politeknik Mukah, Politeknik Kota Kinabalu, Lim Kok Wing Universiti, IPG Tun Abdul Razak, IPG Kampus Batu Lintang, Kolej Komuniti Kuching, Kolej Komuniti Mas Gading, Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, Institut Kemahiran MARA Kuching, Pusat Teknologi & Pengurusan Lanjutan, INTI College Sarawak, Sunway Kolej Kuching, Kolej SEGi Sarawak, Taylor’s University College, University College Sedaya International, Institut Teknologi Sarawell dan Kolej Teknologi Cosmopoint Kuching.

Selain daripada jemputan IPT Borneo, Universiti Malaysia Sarawak juga menjemput universiti negara jiran di Brunei dan Indonesia iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Institut Teknologi Brunei dan Universitas Tanjungpura.

Objektif penganjuran kejohanan adalah untuk menggalakkan penyertaan aktif di kalangan pelajar di dalam aktiviti yang sihat selain mempromosikan sukan air sebagai sukan popular di UNIMAS kepada IPT lain dan masyarakat.

Ia juga bertujuan menyemai serta menggalakkan semangat kesukanan yang tinggi dan semangat berpasukan di kalangan pelajar dan mengeratkan jaringan silaturrahim di kalangan pasukan-pasukan yang bertanding.

Acara perahu kenyalang ini terbahagi kepada dua kategori iaitu kategori lelaki dan kategori campuran dengan jumlah maksima untuk satu pasukan adalah seramai 12 orang tidak termasuk seorang pengemudi dan pemukul gendang bagi kategori lelaki.

Manakala seramai lapan lelaki dan empat wanita juga tidak termasuk seorang pengemudi dan pemukul gendang bagi kategori campuran.

Jarak perlumbaan adalah sama bagi kedua-dua kategori iaitu sejauh 500 meter.

Melalui kejayaan penganjuran ini, langkah seterusnya berharap dapat menjadi penganjur Kejohanan Antara IPTA/IPTS di Malaysia dan juga di peringkat ASEAN sebagai acara tahunan.

Dalam perkembangan sama, Pusat Sukan UNIMAS juga akan menganjurkan UNIMAS Duathlon Challenge 2015 dan Kejohanan Tarik Tali Jemputan UNIMAS yang akan diadakan pada 24 Oktober dan 14 November 2015 nanti sempena Festival Konvokesyen UNIMAS 2015.

Penyertaan adalah terbuka kepada orang ramai yang ingin menyertai.

Sebarang maklumat atau pertanyaan boleh diperolehi di Pusat Sukan UNIMAS di talian 082-581657/1658/1671/1672 atau boleh menghubungi Hardy Suntol di talian 013- 7577175.