Aktiviti pindah tanah secara haram dilumpuhkan JTS

0

SIBU: Aktiviti pemindahan bahan tanah tanpa kelulusan yang dijalankan di kawasan Pasai-Siong, di sini berjaya dilumpuhkan oleh Unit Penguatkuasaan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dengan bantuan pihak polis dari Balai Polis Sungai Merah, kelmarin.

Perjalanan yang memakan masa kira-kira dua jam 30 minit dengan menggunakan jalan ladang dari Jalan Teku ke kawasan aktiviti itu berhasil atas maklumat yang disalurkan oleh orang ramai.

JTS menerusi kenyataan akhbarnya semalam memberitahu, selain keadaan jalan yang tidak elok, kawasan operasi juga adalah terputus daripada sebarang hubungan komunikasi.

“Dalam operasi ini, sebanyak lima buah jentera berat telah disita sebagai bahan bukti dan kesemua pihak yang terlibat akan disiasat di bawah seksyen 32A Kanun Tanah Negeri (Bab 81),” kata kenyataan itu.

Susulan itu, orang ramai adalah diseru untuk bersama-sama pihak Jabatan Tanah dan Survei membanteras aktiviti-aktiviti yang melanggar undang-undang seumpama ini.

Sebarang maklumat yang diketahui boleh disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Survei yang berhampiran atau melalui talian 082-444111 (Ibu Pejabat) atau melalui perkhidmatan Talikhidmat melalui laman sesawang www.talikhidmat.sarawak.gov.my atau panggilan ke nombor 555999.