Kemudahan, infrastruktur asas diberi keutamaan

0

Wong sentiasa berusaha dapatkan peruntukan tambahan untuk membangunkan DUN Bawang Assan

// Oleh Reno Benjamin //

SIBU: Sebagai wakil rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh sentiasa berusaha menyediakan kemudahan-kemudahan asas dan infrastruktur yang diperlukan rakyat di kawasan tersebut.

Menurut Wong, beliau sentiasa berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi membaiki infrastruktur sedia ada serta menyediakan kemudahan-kemudahan asas lain diperlukan.

“Ini termasuk membaiki infrastruktur dan menyediakan kemudahan-kemudahan asas di Sungai Aup serta kawasan sekitarnya,” katanya merasmikan Sukan Darat dan Hari Keluarga Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Aup semalam.

Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Andrew Shilling Banggit dan Pau Kiew Chuang, Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Sarawak Ken Liben, Temenggung Stanley Geramong, Pemanca James Semilan, Guru Besar SK Sungai Aup, Joseph Meringai dan Yang Dipertua PIBGnya, Ajan Atik.

Menyentuh mengenai permohonan sekolah dan PIBG SK Sungai Aup berhubung pembinaan dewan di sekolah itu, Wong berkata akan berbincang perkara itu dengan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Saya akan berbincang dengan JKR berhubung apa yang boleh dilakukan terutamanya dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bermula tahun depan,” jelasnya.

Mengenai pembinaan blok bangunan sekolah dengan kos RM85,000 yang dijanjikan oleh Jabatan Pendidikan sebelum ini, Menteri Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Komuniti itu memberitahu beliau akan membuat susulan berhubung perkara tersebut.

Sementara itu, Joseph dalam ucapannya memberitahu SK Sungai Aup tidak mempunyai dewan menyebabkan banyak aktiviti terpaksa dibatalkan.

Beliau berharap sokongan pihak berkenaan bagi membina sebuah dewan serbaguna dengan kos RM150,000.

Joseph juga berkata, Jabatan Pendidikan sebelum ini menyatakan mahu membina sebuah blok bangunan baharu sekolah tersebut dengan kos RM85,000 namun sehingga kini belum ada khabar berita.

Pada majlis itu, Wong turut memperuntukkan sejumlah RM20,000 bagi membaiki pagar sekolah, menaik taraf tandas dan membeli sistem siar raya (PA System) untuk kegunaan sekolah.

“Kos bagi membaiki pagar sekolah yang rosak mungkin lebih tinggi. Oleh itu, saya akan memberi lebih banyak peruntukan pada tahun depan,” ujarnya.

Mengenai Sukan Darat disertai tujuh buah sekolah rendah itu, Wong berkata ini adalah satu langkah baik kerana usaha mengukuhkan semangat kesukanan, kerjasama dan perpaduan antara guru-guru, atlet-atlet serta murid-murid sekolah rendah yang terlibat.

Sesungguhnya, sukan memberi banyak kebaikan kepada murid-murid kerana mereka aktif mempunyai minda cergas dan cerdas.

“Oleh itu, saya berharap pihak sekolah terus menggalakkan murid-murid melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan dan aktiviti kokurikulum lain,” jelasnya.