Kes bunuh warga emas, tiga dicekup

0

UB15101026SIBU: Polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yakin dapat menyelesaikan kes bunuh seorang lelaki warga emas di Jalan Tekam di sini pada 6 Mei lepas susulan penangkapan tiga remaja lelaki di lokasi berasingan, semalam.

Hasil maklumat dan risikan, polis berjaya mendapat petunjuk daripada salah seorang suspek pernah ditahan sebelum ini kerana cubaan membunuh diri di kediamannya sebelum kes pembunuhan warga emas tersebut.

Menurut sumber, lelaki tersebut ketika itu disyaki melakukan jenayah curi di sebuah kedai alat ganti di kawasan sama, tetapi tidak mahu mengakui kesalahannya.

Selepas itu, lelaki tersebut dikatakan mabuk sehingga cuba membunuh diri.

Bagaimanapun, polis menjalankan siasatan kes sejak pagi semalam berjaya menjumpai lelaki itu semula dan beliau mendedahkan maklumat penting yang membawa kepada penahanannya di kediamannya di Jalan Tekam di sini sekitar jam 12.30 tengah hari.

Seorang lagi rakan suspek juga ditahan di rumahnya di Jalan Amoi di sini setengah jam kemudian.

Suspek ketiga bagaimanapun berjaya dijejaki polis di Jalan Lanang di sini sekitar jam 4 petang.

Polis juga percaya seorang lagi rakan ketiga-tiga suspek masih bebas dan usaha menjejaki suspek keempat diteruskan.

Dalam kejadian pada 6 Mei lalu, seorang pekerja sukarelawan pusat keagamaan, Moh Kee Yek, 64, ditemui mati terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sebuah pusat keagamaan di tingkat satu sebuah rumah kedai di Jalan Tekam di sini.

Ketika itu, mangsa ditemui oleh dua penganut yang datang untuk menjemputnya di situ.

Mangsa meninggal dunia di Hospital Sibu selepas digegaskan oleh ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) pada jam 1.30 pagi.

Polis percaya lebih seorang terbabit dalam pembunuhan itu dan mangsa dipercayai mati akibat dipukul dengan botol kicap.

Kesan tapak kaki juga kelihatan dan tumpahan kicap serta darah di lantai.

Difahamkan, suspek-suspek terlibat dipercayai memasuki premis ibadah Buddha itu melalui pintu pagar tidak berkunci sebelum memecahkan tingkap di tingkat atas rumah kedai tersebut.

Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.