Lindungi produk kreatif, inovatif

0

Oleh Saibi Gi//

 

KREATIF: Nancy melihat produk kreatif dan inovatif yang dihasilkan para pelajar SMK Simunjan.

KREATIF: Nancy melihat produk kreatif dan inovatif yang dihasilkan para pelajar SMK Simunjan.

SIMUNJAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri menggesa mereka yang mempunyai ciptaan produk kreatif dan inovatif mendaftarkannya dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Jika tidak berbuat demikian produk inovatif itu tidak dilindungi undang-undang, justeru kemungkinan ditiru pihak lain dan mengakui sebagai produk ciptaannya.

“Apabila seseorang menghasilkan produk sangat inovatif tetapi tidak memfailkan kepada MyIPO, maka beliau rugi kerana ada kemungkinan pihak lain meniru dan kemudian memfailkan produk tersebut sebagai hasil reka ciptaan miliknya,” kata beliau pada program ceramah dan pameran kesedaran harta intelek di SMK Simunjan semalam.

Menurutnya, harta intelek wajar dilihat sebagai sumber kekayaan baharu yang boleh dinikmati oleh para penciptanya yang kreatif dan inovatif.

“Mereka menjana ekonomi berlipat ganda apabila rekaan mereka digunakan dalam industri yang memerlukan. Malah, negara juga meraih keuntungan hasil daripada kejayaan itu.

“Ini bertepatan dengan hasrat kerajaan memastikan Malaysia kekal berdaya saing dan sumber kekayan baharu ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang potensi industri berasaskan kreatif dan inovatif, beliau berkata negara tidak lagi bergantung kepada sumber tradisional dan fizikal semata-mata jika ingin bersaing dengan negara-negara maju.

Katanya, dalam zaman kian moden lebih banyak inovasi produk, inovasi sistem mahupun inovasi dalam pentadbiran diperlukan.

Justeru itu, pemikiran kreatif dan inovatif perlu dipupuk kalangan generasi muda.

“Pendidikan kreatif dan inovatif amat penting dengan memfokuskan kepada kemahiran berfikir aras tinggi atau ‘high order thinking skills.’

“Murid-murid kreatif dan inovatif menjadi seorang sentiasa berfikir, ingin mencipta, bercita-cita besar, berani dan yakin kepada diri sendiri,” katanya.

Ahli Parlimen Batang Sadong itu menyarankan agar sekolah memberi ruang kebebasan berkarya kepada pelajar-pelajar agar pemikiran kreatif dan inovatif mereka berkembang.

Menurutnya, hasil pemerhatian Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) di lebih 50 lokasi seluruh negara sejak 2011 rakyat Malaysia terdiri jururawat, petani serta suri rumah begitu kreatif dan inovatif.

“Dari 2011 hingga Jun tahun lalu mendapati penduduk tempatan mereka cipta sebanyak 1,254 produk inovatif diseluruh negara,” katanya.