Mayat kanak-kanak hilang ditemui terdampar di dasar tali air

0
SEBAK: Tahir tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat mayat anaknya ditemui pagi semalam.

SEBAK: Tahir tidak dapat menahan kesedihan sebaik melihat mayat anaknya ditemui pagi semalam.

LIMBANG: Mayat kanak-kanak perempuan tahun satu SK Pahlawan dilaporkan hilang ketika pulang dari kelas KAFA petang kelmarin ditemui terdampar di dasar tali air berhampiran parit kawasan paya Kampung Pahlawan di sini, pagi semalam.

Mangsa Siti Nor Hirdah Tahir, 7, ditemui masih berpakaian baju kurung berwarna oren oleh penduduk kampung sekitar jam 10 pagi semalam.

Ketua Operasi SAR PDRM Limbang, Inspektor Ahmad Iswaizani Ismail berkata mayat mangsa ditemui tersangkut di dasar tali air berhampiran parit seberang jalan utama kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemui penduduk kampung yang mencari di dasar tali air itu pagi tadi (semalam),” katanya ditemui di sini semalam.

Mayat mangsa dalam keadaan luka di bahagian kaki dihantar ke Bilik Mayat Hospital Limbang untuk bedah siasat.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang kelmarin ketika mangsa bersama ibu saudaranya Masni Amit melalui jalan pintas menyeberangi parit untuk pulang ke rumahnya di Zon Tatal berikutan hujan lebat.

Menurut ahli keluarga mangsa Murhamit, 46, Nor Hirdah sempat dipimpin Masni yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU), namun genggaman tangan mereka terlepas sebelum mangsa ditarik arus deras dalam keadaan air pasang.

“Ketika menyeberangi parit itu, tangan Nor Hirdah terlepas daripada genggaman ibu saudaranya sebelum dibawa arus deras.

“Nor Hirdah sempat menjerit meminta tolong namun gagal diselamatkan kerana sudah dihanyutkan air pasang setinggi lebih empat kaki ketika itu,” katanya ditemui malam kelmarin.

Nor Hirdah merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Ayah mangsa, Tahir Amit berkata Nor Hirdah tidak berkelakuan pelik sebelum kejadian.

“Dia sama seperti biasa dan tidak menunjukkan perbezaan sebelum ini,” katanya.

Menurut Tahir, beliau turut bergegas ke tempat kejadian tidak jauh dari rumahnya sebaik mendengar jeritan anaknya.

“Saya sempat menyeluk kawasan parit hampir tiga kali namun gagal menjumpai anak saya, dengan keadaan gelap dan hujan lebat,” katanya sebak.

Menurutnya, penduduk kampung turut menjumpai barangan milik mangsa termasuk tudung, bekal makanan dan selipar semasa operasi mencari dilancarkan.

Selain penduduk, operasi mencari turut dilakukan anggota bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).

Sementara itu, Ketua Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Limbang Pegawai Bomba Kanan II Mohamad Ali Mohd Salleh berkata operasi SAR melibatkan jarak kira-kira 500 meter dari tempat mangsa dikatakan hilang.

“Operasi dijalankan sehingga 11 malam tadi (malam kelmarin) dan kita menjumpai payung milik mangsa sekitar jam 9.21 malam.

“Kita berdepan masalah cuaca hujan lebat dan keadaan gelap yang menyukarkan anggota kami dalam operasi itu,” tambahnya.

Jelasnya, seramai lapan anggota membabitkan tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 5.40 petang.