Mekanik ditahan guna motosikal plat palsu

0

SIBU: Seorang mekanik terpinga-pinga apabila polis bertindak menahannya di tempat kerja kerana disyaki memiliki sebuah motosikal menggunakan plat nombor kereta di Jalan Khoo Peng Loong di sini pagi semalam.

Motosikal tersebut dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) didapati mencurigakan memaksa Bilik Gerakan Polis memaklumkan pasukan polis Bit melakukan siasatan di lokasi.

Pemeriksaan lanjut polis mendapati plat nombor motosikal itu didaftar atas sebuah kereta manakala nombor chasis tertera di bahagian enjinnya didapati pernah dilaporkan hilang pada 2010.

Lelaki berusia 22 tahun dan berasal dari Sungai Rassau, Batang Igan di sini kemudian dibawa ke balai polis untuk membantu siasatan.

Difahamkan mekanik tersebut mendakwa seorang rakan sekampung menyuruhnya menggunakan motosikal itu untuk turun kerja tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, selepas menggunakan motosikal tersebut selama empat bulan rakan sekampung itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan.

Mekanik terbabit terpaksa ditahan di lokap sementara siasatan lanjut dijalankan.

Sementara itu, seorang remaja tertinggal serangkai kunci termasuk kunci kereta di atas mesin CDM ketika menyimpan wang di sebuah bank di Jalan Sentral di sini sekitar jam 8.50 malam kelmarin.

Apabila pengadu teringat dan kembali mencari kuncinya di bank tersebut namun kuncinya sudah tiada.

Pengadu kemudian menghubungi kakaknya mengambil kunci pendua dan menyerahkan kepada polis yang mengambilnya dari rumahnya di Bukit Lima di sini.

Menurut pengadu, beliau membuat laporan polis kerana bimbang perkara tidak diingini berlaku terhadap rumah dan keretanya kerana hari ini beliau akan pergi ke Korea selama sebulan.

Turut dilaporkan hilang termasuk kunci rumah dan alat kawalan jauh pagar rumahnya.