Perbaiki teknik pembungkusan produk

0

Oleh Mastura Ismail//

 

TINGKAT KEMAHIRAN: Mardiah (duduk dua kiri), Dr Abdul Rahman, Dr Chua dan Nurfazila bersama peserta.

TINGKAT KEMAHIRAN: Mardiah (duduk dua kiri), Dr Abdul Rahman, Dr Chua dan Nurfazila bersama peserta.

LIMBANG: Usahawan Bumiputera perlu berani menambah pelaburan untuk memperbaiki dan memperkemas teknik pembungkusan agar produk mereka mampu bersaing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Dr Abdul Rahman Ismail berkata usahawan perlu mencari inisiatif sendiri bagi mengembangkan perniagaan mereka dan berusaha melakukan penambahbaikan produk mereka.

Jelasnya, pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Amanah Rakyat (MARA), MARDI, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) membantu memberi khidmat nasihat dan bimbingan dari segi teknik pembungkusan.

“Kebanyakan produk usahawan Bumiputera mempunyai kualiti tinggi namun pembungkusan dan perlabelannya masih belum mencapai piawaian dikehendaki,” katanya pada penutupan Bengkel Keusahawan Ahli-Ahli Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) di sini semalam.

Turut sama Pengelola PPWS Bahagian Limbang (kawasan Limbang, Lawas), Mardiah Awang Said dan penceramah dari MARDI, Dr Chua Hun Ping dan Pegawai Perunding Perbadanan Produktiviti Malaysia Wilayah Sarawak, Nurfazila Zulaihi.

Dr Abdul Rahman berkata, mereka perlu mempelajari aspek pembungkusan dan perlabelan bagi menghasilkan produk makanan lebih berkualiti dan bermutu tinggi.

“Pembelajaran ini perlu diteruskan sepanjang masa dalam usaha menimba ilmu pengetahuan.

“Kita mempunyai pelbagai teknologi digunakan mempelajari ilmu baharu dalam usaha memperbaiki mutu produk bukan sahaja aspek bahan digunakan malah jenama dan logo,” jelasnya.

Beliau berkata, Limbang dan Lawas mempunyai pelbagai produk makanannya berpotensi dan pasaran luas khususnya dari negara jiran, Brunei.

“Penglibatan mereka dalam bidang perniagaan makanan boleh menjana pendapatan terutamanya isteri-isteri membantu suami mereka meningkatkan ekonomi,” katanya.

Seramai 20 peserta membabitkan 10 ahli-ahli PPWS dari Limbang dan Lawas menyertai bengkel itu.