Tugas wakil rakyat bantu semua

0

Oleh Steve Annuar//

 

GUNA SEBAIKNYA: Ahmad Lai (tengah) menyampaikan geran kepada wakil JKKK Kampung Haji Wahed disaksikan Adam (kiri), Sebastian (tiga kanan) di Miri semalam.

GUNA SEBAIKNYA: Ahmad Lai (tengah) menyampaikan geran kepada wakil JKKK Kampung Haji Wahed disaksikan Adam (kiri), Sebastian (tiga kanan) di Miri semalam.

MIRI: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini termasuk sekolah, surau dan jawatankuasa penduduk tetap menerima geran kerajaan walaupun kerusi Parlimen Miri ditadbir pembangkang.

Ahli Parlimen Sibuti, Ahmad Lai Bujang berkata sebagai wakil rakyat adalah menjadi tanggungjawab membantu semua rakyat walaupun bukan di kawasan bawah jagaan beliau.

Sekarang, penduduk Miri bergantung kepada geran kerajaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin, Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri Muda Sukan dan Perhubungan.

Senadin merupakan antara tiga kerusi DUN bawah Parlimen Miri. Dua kerusi DUN iaitu DUN Piasau dan DUN Pujut kini ditadbir pembangkang.

“Kerana kita tahu, pembangkang tidak mempunyai geran saya cuba memohon peruntukan tambahan agar dapat diagih-agihkan kepada penduduk Miri,” katanya pada majlis penyerahan geran di pejabatnya, di Piasau semalam.

Beliau menambah, geran harus terlebih dahulu mendapat kelulusan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) sebelum diagihkan.

Ini bagi memastikan penerima geran adalah pihak yang benar-benar layak agar bantuan dapat dimanfaatkan semua rakyat.

Selain itu, Ahmad Lai juga meminta penduduk memanfaatkan perkembangan Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) merupakan antara kemahiran dan ilmu harus dikuasai masyarakat sekarang.

“Sekarang semua perkara yang kita buat menggunakan IT. Saya cuma berharap kita gunakan IT ini untuk kebaikan,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Piasau Datuk Sebastian Ting berterima kasih atas sokongan dan keprihatinan Ahmad Lai membantu penduduk di Miri.

“SUPP terus bekerja keras membantu penduduk Miri. Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang juga penting untuk kita dan Sarawak. Kita juga mahu memberi mandat kepada ketua menteri untuk terus memimpin negeri ini, “ jelas Sebastian.

Pada majlis itu, sejumlah 22 penerima terdiri persatuan dan jawatankuasa kampung, sekolah, surau dan masjid menerima geran berjumlah RM64,000 daripada Ahmad Lai.

Antara penerima Surau Nurul Hidayah Kampung Haji Wahed, JKKK Kampung Haji Wahed, Persatuan Tang Soo Do Bahagian Miri, Persatuan Wushu Miri, PIBG Riam 2 Lembah Hijau Lopeng Tengah, Surau Darul Mukmin Kampung Riam Jaya, PIBG SK Lutong, Masjid Darul Ehsan, Persatuan Melayu Miri dan Tabika Perpaduan Taman Tunku Tanjung Miri.

Hadir sama Pengerusi SUPP Pujut, Adam Yii dan Penghulu Abdul Samad Alip.