Usah jadi batu api

0

Oleh Jeremy Lanson//

 

UNTUK KECEMASAN: Roslan menunjukkan poster yang tertera nombor Hotline IPD Kuching yang boleh dihubungi jika berhadapan kecemasan.

UNTUK KECEMASAN: Roslan menunjukkan poster yang tertera nombor Hotline IPD Kuching yang boleh dihubungi jika berhadapan kecemasan.

KUCHING: Masyarakat dinasihat memanfaatkan media sosial dengan tidak menggunakannya sebagai medium untuk menyebarkan sesuatu maklumat atau perkara yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad berkata, tindakan segelintir pihak menyebarkan perkara berunsur dendam dan ketidakpuasan hati akan mengeruhkan lagi keadaan dan mendatangkan masalah di kemudian hari.

Justeru, beliau yang tidak menolak media sosial juga banyak membantu polis dalam mengurangkan kadar jenayah memohon agar masyarakat dapat terus memberi kerjasama kepada pihak polis dalam memerangi jenayah.

“Misalnya, jika rasa tidak puas dengan polis, jangan disalurkan melalui media sosial, jumpa terus dengan mana-mana pegawai polis atau boleh berhubung terus dengan saya.

“Kenapa perlu diviralkan kerana benda itu nanti akan menjadi lebih keruh disebabkan akan ada pihak yang menjadi batu api dan keadaan ini juga boleh menggugat ketenteraman awam.

“Manfaatkan media sosial untuk perkara yang positif kerana selama ini juga masyarakat banyak membantu polis menggunakan media sosial,” tegas Roslan semasa menghadiri Program High Profile Policing di Tabuan Jaya, semalam.

Sementara itu, bercakap mengenai kadar jenayah di bandar raya Kuching, Roslan memberitahu pihaknya mencatatkan penurunan berturut-turut sejak lima tahun lepas.

“Dengan kerjasama daripada masyarakat, Kuching mencatatkan penurunan indeks jenayah sejak lima tahun lepas dan kita mengharapkan agar kerjasama ini berterusan untuk memastikan kadar jenayah terus berkurangan,” kata beliau.

Selain itu, beliau memohon agar masyarakat segera menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau anggota polis yang bertugas sekiranya melihat sesuatu yang mencurigakan.

“Hubungi mana-mana balai polis berhampiran sekiranya melihat sesuatu yang mencurigakan atau melihat jenayah dilakukan dan jangan risau kerana setiap butir peribadi pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.

Bercakap mengenai langkah pencegahan jenayah, Roslan memberitahu masyarakat agar sentiasa memastikan harta benda atau kediaman sentiasa dalam keadaan selamat.

“Penjenayah akan sentiasa mencari peluang dan disebabkan itu kita harus sentiasa berjaga-jaga dan memastikan harta benda sentiasa dalam keadaan selamat.

“Mungkin tidak semua mampu memasang CCTV atau sistem penggera di rumah, tetapi saya percaya ramai yang memiliki kereta dan sistem penggera kereta juga boleh digunakan untuk menakutkan penjenayah,” katanya.